Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen antidadah baru bagi belia di Nee Soon Central

Jan 22, 2021 | 5:30 AM
GALAK HIDUP BEBAS DADAH: Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Encik Hawazi Daipi melancarkan Kempen Antipenyalahgunaan Dadah Nee Soon Central di Northpoint City semalam. - Foto ZAOBAO
GALAK HIDUP BEBAS DADAH: Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri) dan Encik Hawazi Daipi melancarkan Kempen Antipenyalahgunaan Dadah Nee Soon Central di Northpoint City semalam. - Foto ZAOBAO -

BELIA tinggal di kawasan Nee Soon Central akan berpeluang mendengar sendiri tentang bahaya dadah daripada bekas pesalah, yang akan mengongsi pengalaman mereka dalam satu kempen antidadah baru.

Mereka akan juga dibimbing oleh sekumpulan relawan yang dilatih khas sebagai duta antidadah dan untuk mendekati belia bagi menyampaikan mesej antidadah semasa Kempen Antipenyalahgunaan Dadah Nee Soon Central itu.

Kempen itu kerjasama antara Rangkaian Belia Nee Soon, Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA), dan turut merangkumi sebuah program pementoran belia.

Ia dilancarkan bersama oleh Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, dan pengerusi NCADA, Encik Hawazi Daipi, di pusat beli-belah Northpoint City semalam.

Sebelum pelancaran kempen itu, sekitar 25 sukarelawan akar umbi menghadiri bengkel latihan yang dikendalikan CNB untuk menjadi duta antipenyalahgunaan dadah.

Para relawan itu akan menjalankan program pementoran belia yang akan juga melibatkan bekas pesalah dadah berkongsi pengalaman mereka dan kesan negatif penyalahgunaan dadah terhadap orang yang mereka sayangi.

Ketua dan relawan akar umbi daripada skim Citizens on Patrol juga akan menggalak belia yang menghabiskan masa di kolong blok atau taman menyertai kegiatan masyarakat sebaliknya.

"Ini akan membolehkan mereka memimpin dan menganjurkan kegiatan dan oleh itu, menanam rasa pemilikan dan bertanggungjawab serta rasa kekitaan," kata Pejabat Kawasan Undi Nee Soon Central dalam satu kenyataan semalam.

Di perasmian kempen itu semalam, Dr Faishal dan Encik Hawazi mengunjungi beberapa kedai di Northpoint City untuk menampal pelekat 'Zon Bebas Dadah'.

Dr Faishal berkongsi bahawa ada rancangan memperluas kempen itu ke seluruh GRC Nee Soon.

"Dan kami berharap dengan melakukan inisiatif ini, lebih ramai orang dapat melihat bahawa ia program baik, dan akan terdapat lebih banyak inisiatif masyarakat seperti ini yang dilaksana di kawasan lain di Singapura," katanya.

Dr Faishal berharap kempen itu juga dapat menyemai daya tahan dalam belia untuk mengelak mereka terjebak dalam kegiatan pengambilan dadah.

Encik Hawazi pula memuji usaha kempen itu meraih sokongan masyarakat dalam melawan penyalahgunaan dadah.

"Adalah fokus NCADA untuk mendidik orang awam mengenai bahaya dadah dan perlunya memastikan Singapura bebas dadah," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg