Sehingga kini, Skim Bantuan Pengangkutan Sekolah (Stars) Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East dan rakan kongsinya syarikat perlombongan Top International Holding telah mengumpul $68,000 – $32,000 kurang daripada sasaran sebanyak $100,000 yang ditetapkan.
Stars @ North East menyediakan sokongan kewangan yang besar kepada pelajar yang tinggal di kawasan North East, bagi keluarga dengan pendapatan isi rumah $1,000 atau kurang.
Bagi menyokong usaha pemerintah yang sedia ada, daya utama ini bertujuan menghapuskan halangan yang mungkin menjejas potensi penuh pelajar, selain memperkasakan pelajar untuk meneruskan pengajian akademik mereka tanpa beban perbelanjaan pengangkutan.
Murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang layak akan menerima bantuan $360 setahun; manakala pelajar maktab rendah, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) layak menerima $650; sementara pelajar universiti layak menerima $1,000, setiap suku tahun.
Sejak peningkatannya pada 2023 untuk memberi sokongan kepada pelajar di peringkat pengajian tinggi, Stars @ North East telah membantu kehidupan lebih 70 peratus pelajar, mengukuhkan peranannya sebagai sumber penting untuk populasi pelajar yang lebih besar dalam masyarakat.
Acara, The Kindness Warrior: Families for School Transport, pada 20 Jun telah mengundang penerima bantuan Stars @ North East dan keluarga mereka untuk turut sama menyertai sebahagian daripada sesi khas untuk sehari di Every Little Thing Festival di Our Tampines Hub.
Lebih 500 individu, termasuk penerima bantuan Stars @ North East, penaja korporat dan sukarelawan, mengambil bahagian dalam kegiatan yang dianjurkan, termasuk Naib Pengerusi CDC North East yang juga penasihat bagi Pertubuhan Akar Umbi GRC Sengkang, Dr Elmie Nekmat.
Antara penerima bantuan Stars @ North East yang hadir ialah Cik Nur Alwanee Razali, 26 tahun, yang amat berterima kasih atas sokongan CDC North East.
“Menjaga lima orang anak, termasuk anak bongsu saya yang didiagnosis dengan autisme, amat sukar dari segi kewangan bagi keluarga kami.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan daripada CDC North East melalui skim seperti Stars @ North East, yang telah meringankan beban kos pengangkutan kami dan membolehkan kami untuk membeli keperluan lain,” kata Cik Nur Alwanee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg