Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemudahan baharu di Hougang buat penghuni hadapi isu kesihatan mental
Kemudahan baharu di Hougang buat penghuni hadapi isu kesihatan mental
Sejak dibuka pada Mei, sebuah kemudahan psikiatri bersepadu di Hougang telah menerima 151 penghuni jangka panjang daripada Institut Kesihatan Mental (IMH) ke dalam rumah jagaannya.
Seramai 14 pesakit lagi ditempatkan di sebuah rumah lain di bawah bumbung yang sama, bagi menawarkan sokongan agar hidup berdikari.
Pusat itu menandakan langkah terbaharu dalam usaha berterusan Singapura untuk memindahkan penjagaan psikiatri jangka panjang ke persekitaran berasaskan masyarakat.
Tapak di Lorong Napiri yang dikendalikan oleh Vanguard Healthcare itu menempatkan tiga perkhidmatan yang saling melengkapi.
Perkhidmatan tersebut ialah sebuah rumah jagaan 257 katil yang menyediakan penjagaan kejururawatan (kesihatan) sepanjang masa; sebuah kediaman 48 katil yang tertumpu pada pembinaan kemahiran hidup berdikari dan kemahiran vokasional, serta sebuah pusat jagaan harian yang dijadual dibuka pada suku pertama 2027.
Semasa majlis perasmian kemudahan Vanguard Healthcare di Hougang pada 5 Oktober, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata:
“Kita memerlukan penjagaan berterusan, dengan pelbagai jenis kemudahan yang memberi tahap sokongan berbeza apabila keperluan seseorang berubah.
“Permintaan untuk penjagaan peringkat pertengahan juga akan meningkat apabila pesakit sedia ada semakin tua.”
Vanguard Healthcare ditubuhkan Kementerian Kesihatan (MOH) sebagai pengendali awam untuk menguji model penjagaan baharu.
Ia menawarkan model baharu yang menggabungkan rumah jagaan dengan rumah pemulihan kesihatan mental di satu tempat, supaya lebih mudah buat pesakit berpindah antara kedua-dua rumah jika keperluan mereka berubah, jelas Encik Ong.
Selama beberapa dekad, IMH menjadi tempat perlindungan bagi individu yang menghidap keadaan psikiatri yang teruk seperti skizofrenia, gangguan bipolar dan kemurungan major.
Namun, bagi sebahagian besar penghuninya, yang ramai antaranya tiada rumah atau sokongan sosial, IMH telah menjadi sesuatu yang jauh lebih kekal – tempat untuk menua.
Di kemudahan yang mempunyai hampir 2,000 katil itu, ada pesakit yang menginap lebih 10 tahun, malah 20 tahun, sehingga wad menjadi tempat tinggal mereka.
Namun, pesakit jangka panjang itu semakin tua. Umur median mereka ialah 58 tahun, dan 83 pesakit sudah berumur 70 tahun ke atas, kata Encik Ong.
Bagi kebanyakan pesakit tersebut, keadaan mereka sudah stabil dan mereka jarang gelisah, kerana mereka semakin uzur dan keupayaan berfikir mereka semakin merosot.
Memandangkan mereka memerlukan lebih penyeliaan, penjagaan kejururawatan dan bantuan dalam kehidupan harian dan bukannya penjagaan psikiatri akut, Singapura sudah mula menempatkan mereka di lokasi lebih sesuai.
Contohnya, di kemudahan kediaman peralihan yang lebih menyerupai rumah, seperti Sunlove dan Rumah Penjagaan St Andrew.
Di sana, pesakit boleh terus menerima penjagaan kejururawatan dan sokongan, sambil menyertai pemulihan dan kegiatan harian yang membantu mereka mendapatkan semula kemahiran, keyakinan dan kebebasan, tambah Encik Ong.