KUMPULAN pelawat pertama yang menggunakan kemudahan mesyuarat perniagaan khusus di Singapore Expo tiba semalam.
Mereka datang dari semua pelosok dunia, seperti Jerman, Perancis, Indonesia, Jepun dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Connect@Changi menjelaskan tetamu di kemudahan itu boleh bertemu rakan sejawatan berpangkalan di Singapura dan tetamu dari negara lain dengan selamat, memandangkan ia menawarkan bilik mesyuarat yang direka khas.
Antara tetamu pertamanya ialah Encik Olivier Leroux, ketua pegawai eksekutif merangkap presiden Oasis Smart Sim, sebuah firma Perancis berpangkalan di sini.
Encik Leroux datang dari Perancis dan akan menetap di kemudahan itu lima hari, dan bakal bertemu rakannya di Singapura empat hingga lima kali.
Connect@Changi tidak mengatakan berapa ramai tetamu diterima sejak pelancaran rasminya pada 18 Februari dengan 150 bilik tetamu.
Kemudahan pertama di dunia itu sebahagian daripada usaha Singapur menempatkan dirinya sebagai hab perniagaan global di tengah-tengah pandemik.
Ekoran Covid-19, mesyuarat secara bersemuka berkurangan, khususnya antara pemimpin perniagaan berpangkalan di pelbagai bahagian di dunia.
Dengan membataskan pelawat perniagaan di kemudahan itu sahaja, di samping ujian tetap dan langkah berwaspada seperti panel kaca di bilik mesyuarat, kemudahan itu bertujuan membolehkan mesyuarat perniagaan antarabangsa disambung dalam norma baru.
Apabila beroperasi sepenuhnya lewat tahun ini, Connect@Changi berkata ia akan dapat menampung hingga 1,300 pelawat perniagaan pada satu-satu masa.
Pemerhati sebelum ini berkata, jika berjaya, kemudahan itu boleh merangsang reputasi Singapura sebagai hab perniagaan global dengan memupuk keyakinan pelawat bahawa negara ini boleh menganjurkan mesyuarat dengan selamat.
Di bawah skim itu, pelawat akan dibawa ke Connect@Changi dari lapangan terbang dan tidak boleh meninggalkan kemudahan itu sepanjang penginapan di sini.
Mereka harus mengambil ujian Covid-19 dengan tetap memandangkan mereka tidak perlu menjalani kuarantin - hambatan utama dalam pergerakan bagi tujuan perniagaan dan riadah.
Encik Leroux berkata beliau perlu dapat bertemu pasukannya yang berpangkalan di Singapura dan menangani beberapa urusan.
"Connect@Changi menawarkan kemungkinan ini. Saya ghairah untuk meneroka kemudahan ini," ujar beliau.
Menurut Connect@Changi, hubungan antara tetamu dan kakitangan barisan pertama akan dikurangkan, dengan rak-rak dipasangkan di luar bilik tetamu untuk meletak hidangan yang dihantar oleh kakitangan, di samping kopi layan sendiri di kios Starbucks.
Tetamu juga boleh menempah sajian tempatan dan antarabangsa dari Changi Eats, iaitu khidmat penghantaran makanan Lapangan Terbang Changi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg