Kemudahan rawatan masyarakat terima pesakit Covid-19
Lebih 70 dari 150 katil di kemudahan pertama di Tampines dipenuhi bagi jaga warga emas yang dijangkiti koronavirus
LEBIH 70 daripada 150 katil di kemudahan rawatan masyarakat (CTF) pertama Singapura kini digunakan pesakit Covid-19, sekitar seminggu sejak kemudahan itu dibuka untuk menjaga warga emas yang dijangkiti koronavirus.
CTF tersebut, yang terletak di tapak Rumah Jagaan Kesihatan NTUC di Tampines, disediakan bagi pesakit yang secara umumnya dalam keadaan baik tetapi mempunyai masalah kesihatan lain yang memerlukan pemantauan dekat.
Kementerian Kesihatan (MOH) telah mengumumkan pada 19 September lalu bahawa kemudahan itu akan ditubuhkan sebagai respons terhadap kes Covid-19 yang meningkat di sini sepanjang bulan lalu.
Dr Wong Kirk Chuan, ketua pegawai operasi Woodlands Health, yang mengendalikan CTF itu, berkata sejauh ini, tiga daripada lima tingkat kemudahan itu telah dibuka dan menerima pesakit. Bakinya akan dibuka, dengan kapasiti maksimum sekitar 250 katil "apabila terdapat permintaan".
Menurut beliau, pada 16 September lalu, MOH telah meminta Woodlands Health menubuhkan sebuah kemudahan dalam masyarakat dengan pantas untuk menjaga warga emas yang dijangkiti Covid-19.
Pihaknya mengenal pasti rumah jagaan itu sebagai tempat yang sesuai dalam tempoh 24 jam, dengan pihak pengurusan rumah itu membenarkan mereka menggunakan kemudahan tersebut "buat masa depan yang dapat dijangkakan".
"Kami mencari kemudahan yang akan membolehkan kami menyediakan penjagaan dengan kerja ubahsuai minimum dan memberikan tahap penjagaan yang kami yakin dapat menjaga warga emas dalam lingkungan usia 80-an dan 90-an tahun dengan selamat serta dengan sokongan perubatan dan kejururawatan yang sesuai," kata beliau dalam satu sidang media melalui Zoom semalam.
Sebelum ini, Woodlands Health pernah menubuhkan dan mengendalikan Kemudahan Penjagaan Masyarakat (CCF) seperti di D'Resort NTUC dan Expo.
Disebabkan profil pesakit warga emas yang dijangkakan, Dr Nicholas Chew, pengerusi lembaga perubatan Woodlands Health, berkata golongan itu cenderung menghidap penyakit kronik dan kemungkinan lebih lemah, justeru, penjagaan disediakan perlu sesuai dengan usia mereka.
"Oleh itu, kami melihat pada lebih kakitangan yang dilatih dalam bidang geriatrik, sama ada jururawat atau doktor, agar kami boleh memantau penyakit kronik mereka dan juga beberapa keperluan pemulihan semasa mereka di hospital," kata beliau.
Selain kakitangan Woodlands Health, kakitangan lain dari rakan sektor privet yang pernah membantu di Expo, dan juga Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Pusat Kulit Nasional, Hospital Tan Tock Seng dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), turut memberikan sokongan di CTF itu.
CTF itu juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan diagnostik, seperti alat ultrabunyi dan X-ray.
Selain itu, ujian darah yang mudah boleh dijalankan dengan sampel dihantar ke rakan makmal di luar kemudahan itu.
Laporan lanjut & Covid-19 di SG :
- Kemudahan rawatan seperti di rumah untuk warga emas dijangkiti Covid-19
- Warga emas 60 tahun ke atas dan seisi rumah mereka digesa tidak keluar rumah hingga kes jangkitan lebih stabil
- Langkah kawalan tambahan di Pusat Borong Pasir Panjang selepas dibuka semula
- Lapan lagi warga emas S'pura meninggal akibat komplikasi Covid-19

