KEMUNGKINAN campak menjadi wabak besar di Singapura kekal rendah, kata Kementerian Kesihatan (MOH), meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini memberi amaran akan kemungkinan ancaman sejagat penyakit itu.
Campak yang juga dikenali sebagai rubeola, merupakan salah satu virus manusia yang paling berjangkit.
Virus yang berpotensi membawa kepada kematian itu menjejas sistem pernafasan, sering kali menyebabkan ruam kulit.
Menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), MOH berkata penduduk Singapura mempunyai daya tahan yang tinggi terhadap campak dan kemungkinan ia menjadi wabak besar adalah rendah memandangkan terdapatnya perlindungan tinggi vaksin bagi virus itu di sini.
Pada 23 November lalu, WHO dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat memberi amaran akan demam campak merebak ke pelbagai rantau di serata dunia.
Mereka mengaitkan ancaman itu dengan wabak Covid-19, yang telah menyebabkan perlindungan vaksinasi yang berkurangan dan pemantauan lemah terhadap penyakit itu, yang ditambah pula dengan penularan besar dan berterusan penyakit tersebut tahun ini.
Virus itu secara keseluruhannya boleh dicegah dengan vaksinasi dan memerlukan sekurang-kurangnya 95 peratus penduduk mendapatkan dua dos vaksin campak agar penduduk dilindungi.
Namun vaksinasi di serata dunia kini di bawah paras tersebut, dengan hanya 81 peratus kanak-kanak yang menerima vaksin dos pertama bagi campak, dan hanya 71 peratus kanak-kanak yang mendapatkan suntikan kedua, kata WHO dan agensi kesihatan awam Amerika.
Hampir 40 juta kanak-kanak tidak mendapatkan vaksin dos campak tahun lalu, lantas meningkatkan risiko virus pernafasan berjangkit yang tinggi timbul semula di serata dunia, katanya.
Di Singapura, perlindungan dos vaksin pertama bagi penduduk secara konsisten melebihi 95 peratus dari 2011 hingga tahun lalu, dengan dos kedua sekitar 90 peratus, kata MOH.
Lantas kementerian itu menggesa ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka yang masih kecil mendapat dua dos vaksinasi campak, beguk, rubela (MMR) mengikut jadual dan seperti yang disarankan pihak doktor perubatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg