Kenaikan kes denggi S'pura dijangka sedang populasi nyamuk naik 30 peratus
Kenaikan kes denggi S'pura dijangka sedang populasi nyamuk naik 30 peratus
KES denggi di sini dijangka meningkat, sedang populasi nyamuk Aedes aegypti - yang menyebarkan denggi dan virus lain - telah meningkat sekitar 30 peratus pada April, berbanding Januari, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Selasa (1 Jun). Populasi nyamuk telah kekal tinggi di beberapa kawasan perumahan di serata negara, termasuk Clementi West Street 1, Hougang Avenue 6, 8 and 10, Jurong East Street 32, Mei Chin Road, Mei Ling Street, dan Stirling Road. Lebih 2,700 kes denggi telah dilaporkan sejak permulaan tahun ini dan kini terdapat 22 kelompok denggi aktif. Walaupun terdapat lebih sedikit kes denggi dalam beberapa minggu kebelakangan berbanding tempoh sama tahun lalu - apabila penularan denggi bersejarah berlaku di Singapura - angka tersebut tetap lebih tinggi berbanding 2017 dan 2018, tahun-tahun yang masing-masing menyaksikan 2,772 dan 3,285 kes. Sebanyak 35,315 kes denggi dilaporkan tahun lalu, dengan 28 kematian. "Memandangkan kita sekarang memasuki bulan-bulan yang lebih panas dari Jun hingga Oktober, peningkatan risiko penyebaran denggi yang lebih tinggi menjadi keprihatinan," kata agensi itu. Oleh itu, NEA menjangkakan peningkatan bilangan kes denggi disebabkan oleh kitaran pembiakan dan pematangan vektor nyamuk Aedes aegypti yang dipercepat - yang bermakna lebih sedikit masa diperlukan untuk nyamuk itu menjadi nyamuk dewasa yang menggigit dalam bulan yang lebih panas - serta tempoh inkubasi virus denggi yang lebih pendek. Ini merujuk kepada masa yang diperlukan untuk nyamuk itu membawa penyakit tersebut dan menyebarkannya. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tempoh ini sekitar lapan hingga 12 hari apabila suhu dari 25 hingga 28 darjah Celsius.

