SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kenali aktivis pejuang isu wanita lahir tanpa rahim

Kenali aktivis pejuang isu wanita lahir tanpa rahim

May 26, 2022 | 5:30 AM

Kenali aktivis pejuang isu wanita lahir tanpa rahim

SEMBANG PETANG: Orang ramai berpeluang mengenali penulis puisi Malaysia, Wani Ardy, dengan lebih mendalam dalam satu acara sembang petang esok berjudul Citra Cinta Seorang Wanita. - Foto ihsan WANI ARDY
SEMBANG PETANG: Orang ramai berpeluang mengenali penulis puisi Malaysia, Wani Ardy, dengan lebih mendalam dalam satu acara sembang petang esok berjudul Citra Cinta Seorang Wanita. - Foto ihsan WANI ARDY -

BELIAU dikenali sebagai pencipta lagu, penyajak, penulis dan aktivis perjuangan isu wanita dan kesihatan.

Tetapi Wani Ardy, atau nama sebenarnya Nur Syazwani Abdul Rahim, yang berasal dari Malaysia, juga dikenali dengan keadaan kesihatan yang dialaminya iaitu Sindrom Mayer Rokitansky Kuster Hauser (MRKH).

Ini bermakna beliau dilahirkan tanpa rahim dan faraj, dan tidak boleh hamil.

Namun Wani, 37 tahun, menganggap keadaan yang dialaminya itu sebagai satu anugerah sekali gus ujian daripada sang Pencipta.

Esok, orang ramai berpeluang mengenali beliau dengan lebih mendalam lagi dalam satu acara sembang petang di Library@Esplanade yang akan berlangsung dari 5.30 petang hingga 7 malam.

Acara berjudul Citra Cinta Seorang Wanita itu dianjurkan oleh Kelab Membaca Ilham Pustaka Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Sesi bual mesra yang diselang-selikan dengan persembahan itu bertujuan membolehkan orang ramai lebih mengenali Wani dan meraikan karya yang telah beliau hasilkan.

Hadirin akan dapat mendengarkan bagaimana keadaan kesihatan yang dialaminya mencorak alur fikir serta tenunan karya-karyanya.

Orang ramai juga dapat memahami kekuatan yang memacu kejayaannya menghasilkan banyak buku seperti Langit Vanilla dan Mesin Cahaya Masa.

Wani juga telah menghasilkan dua EP berjudul Senikatawati dan Meanwhile, satu single berjudul Langit Vanilla/Sekarang Aku Tahu dan satu album berjudul Raskat.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga telah membuat penampilan di pelbagai wadah persembahan di Singapura, Jakarta, Makassar, Banggai di Indonesia, Sydney dan Melbourne.

Selain berkarya, Wani merupakan pejuang sindrom MRKH dan aktif menyebarkan kesedaran tentang kepentingan pengetahuan kesihatan wanita.

Wani disahkan menghidap Sindrom MRKH ketika berumur 18 tahun.

Sindrom itu dialami satu dalam setiap 5,000 wanita di serata dunia.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg