SERAMAI 50 warga Singapura akan turut serta dalam fasa pertama program AED-On-Wheels yang dipertingkatkan, di mana kenderaan mereka akan dilengkapi dengan defibrilator luaran automatik (AED).

Program itu disokong oleh Temasek Foundation Cares dan dilancarkan oleh Menteri Kanan Encik Teo Chee Hean semalam sempena pembukaan rasmi Balai Bomba Punggol dan Pusat Polis Kejiranan Punggol.

"Dengan melengkapkan 'Responder' Pertama Masyarakat dengan AED dalam kenderaan persendirian mereka, kami percaya ia akan membolehkan mereka bertindak balas dengan cepat semasa kecemasan sakit jantung dan dengan itu membantu meningkatkan peluang mangsa untuk terus hidup," kata pengarah lembaga Temasek Foundation Cares Encik Zainul Abidin Rasheed.

Kesemua 50 peserta telah dilatih untuk melakukan kemahiran bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan AED dan akan dimaklumkan mengenai kejadian serangan jantung melalui aplikasi SCDF, myResponder.

Program AED-on-Wheels yang dipertingkat adalah lanjutan daripada inisiatif Save-A-Life yang dilancarkan pada 2015 dengan kerjasama Kementerian Kesihatan, Yayasan Jantung Singapura dan Persatuan Rakyat.

Pengarah Jabatan Sukarelawan dan Kerjasama Masyarakat di SCDF, Penolong Pesuruhjaya (AC) Yazid Abdullah, berkata:

"Untuk meningkatkan ketersediaan AED dalam masyarakat, adalah tepat pada masanya untuk SCDF meluaskan Program AED-on-Wheels melangkaui sektor komersial dan meningkatkan bilangan 'Responder' Pertama Masyarakat yang dilengkapi AED dalam kenderaan mereka.

"SCDF menggalakkan lebih ramai pemandu menyertai program ini dalam beberapa tahun akan datang."