Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kenneth Jeyaretnam hadapi Pofma ke-8, siasatan polis

Jul 4, 2024 | 5:15 PM
Setiausaha Agung Parti Reformasi, Encik Kenneth Jeyaretnam (gambar), berdepan Arahan Pembetulan atau Pofma kali ke-8 sejauh ini dengan arahan terbaharu dikemukakan Kementerian Kewangan pada 4 Julai 2024.
Setiausaha Agung Parti Reformasi, Encik Kenneth Jeyaretnam (gambar), berdepan Arahan Pembetulan atau Pofma kali ke-8 sejauh ini dengan arahan terbaharu dikemukakan Kementerian Kewangan pada 4 Julai 2024. - Foto fail

Setiausaha Agung Parti Reformasi, Encik Kenneth Jeyaretnam, telah dikenakan Arahan Pembetulan kelapan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) untuk catatan yang disiarkannya di Facebook pada 15 Jun lalu setelah didapati mengandungi kenyataan palsu.

Kementerian Kewangan (MOF), dalam satu kenyataannya pada 4 Julai, berkata Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan, Encik Chee Hong Tat, telah mengarahkan Arahan Pembetulan tersebut.

Catatan Encik Jeyaretnam itu – yang didapati mengandungi beberapa kenyataan palsu – mendakwa pemerintah sengaja menetapkan harga tanah yang tinggi untuk dijual kepada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

MOF menjelaskan, harga jualan tanah negara kepada HDB ditentukan oleh Ketua Penilai (CV), sebuah pejabat bebas yang pelantikannya memerlukan persetujuan Presiden. CV menetapkan harga jualan berdasarkan nilai pasaran saksama, menggunakan prinsip penilaian yang ditetapkan sama seperti yang terdapat di sektor swasta.

Catatan tersebut turut mendakwa dana wakaf dan amanah tidak telus.

MOF menyatakan butiran tambah nilai dana ini boleh didapati dalam buku Belanjawan dan Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen.

Penyata kewangan dana ini boleh diakses secara umum dan menyediakan pecahan perbelanjaan secara terperinci.

Di samping itu, kenyataan Encik Jeyaretnam juga mendakwa pemerintah mengekalkan bank tanah besar harta warisan untuk mengekalkan harga tanah tinggi dan meningkatkan rizab.

MOF membalas pendekatan pengurusan tanah pemerintah adalah berdasarkan perancangan dan keperluan pembangunan Singapura, dan bukannya untuk memaksimumkan hasil jualan tanah atau meningkatkan rizab.

Sesetengah hartanah dipelihara untuk warisan atau nilai sejarahnya.

MOF berkata, Encik Jeyaretnam dikehendaki mengaitkan notis pembetulan yang mengandungi penjelasan pemerintah di samping catatannya itu.

“Ini akan membolehkan pembaca membaca kedua-dua versi dan membuat kesimpulan mereka sendiri,” tambah kementerian itu.

Ini merupakan Arahan Pembetulan kelapan yang dikeluarkan kepada Encik Jeyaretnam untuk 21 catatannya yang disiarkan wadah dalam talian. Laman sesawangnya, The Ricebowl Singapore, dan akaunnya di Facebook, Instagram, X dan LinkedIn juga telah diisytiharkan sebagai ‘Lokasi Dalam Talian Yang Diisytiharkan’ di bawah Pofma sejak 12 Disember 2023.

Penamaan ini disebabkan platform itu mengandungi tiga atau lebih kenyataan fakta palsu yang berbeza yang tertakluk kepada arahan aktif Pofma pada masa itu.

Namun begitu, MOF berkata Encik Jeyaretnam “terus membuat kenyataan palsu dan mengelirukan tentang dasar pemerintah dan operasi agensi awam, walaupun fakta tersedia secara umum dan kepalsuan serta fakta yang sepadan dengannya telah dimaklumkan kepadanya”.

Pejabat Pofma dan Pasukan Polis Singapura telah memulakan siasatan terhadap Encik Jeyaretnam untuk kemungkinan kesalahan masing-masing di bawah Pofma dan Akta Pentadbiran Keadilan (Perlindungan) 2016, menurut MOF.

“Agensi telah berhubung dengan Encik Jeyaretnam sejak April 2024 dan telah menjemputnya untuk membantu siasatan. Dia setakat ini tidak menghadirkan dirinya untuk membantu dalam siasatan,” tambah kementerian itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg