MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan kenyataan hari ini (17 Jun) mengenai siasatan ke atas amalan pensijilan halal yang dijalankan badan tersebut. Berikut kenyataan penuh Muis: "Muis sebelum ini telah menjemput orang ramai yang mempunyai maklumat dan bukti konklusif mengenai amalan pensijilan halal yang menimbulkan persoalan, untuk menulis kepada kami selewat-lewatnya 15 Jun untuk membantu siasatan kami. Muis berterima kasih terhadap mereka yang telah tampil ke hadapan dan memberi penyerahan mereka.
Muis akan meneliti penyerahan yang telah diberikan sebagai sebahagian siasatan yang sedang dijalankan, dan kemas kini lebih lengkap akan diberikan apabila proses siasatan selesai. Siasatan ini dijalankan oleh Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad, dan kumpulan yang terdiri daripada pegawai yang tidak terlibat dalam Unit Halal atau hal berkaitan dengannya. Kumpulan ini melaporkan secara langsung kepada Ketua Eksekutif. Tambahan pada itu, sebuah panel semakan bebas yang dipengerusikan oleh Ahli Majlis Muis dan pengarah audit yang telah bersara dari Pejabat Ketua Audit Negara, Encik Abdul Hamid Abdullah, telah ditubuhkan untuk meninjau proses dan hasil penemuan siasatan.
Muis ingin menekankan bahawa pegawai yang terlibat dalam tuduhan yang dibuat itu bukan sebahagian daripada panel siasatan. Pegawai tersebut juga tidak terlibat dalam menangani perkara-perkara berkaitan pengiktirafan Pensijilan Halal Pertubuhan Asing (FHCB) sementara siasatan dilakukan, untuk memudahkan siasatan.
Muis menggesa orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak berasas. Spekulasi dan tuduhan yang dibuat tanpa pengetahuan penuh mengenai fakta dan penemuan, adalah tidak perlu dan tidak produktif. Muis sedar sejak kenyataan terakhir kami sebelum ini, masih terdapat beberapa pos di media sosial oleh beberapa individu yang membuat spekulasi berkenaan hasil dari siasatan ini. Ini telah menimbulkan kekeliruan di kalangan anggota masyarakat. Kami meminta kesabaran anda untuk membolehkan proses siasatan diselesaikan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg