DANA $1.2 juta telah dikumpulkan Keppel Club bagi Cabaran Presiden tahun ini, memecahkan rekodnya sejauh ini.

Sebanyak 93 agensi merangkumi pelbagai sektor termasuk penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas, individu kurang upaya, kanak-kanak, keluarga dan belia akan meraih manfaat daripada dana tersebut.

Mendedahkan demikian dalam ucapannya yang disampaikan semasa acara Golf Amal semalam, Presiden Halimah Yacob telah menyampaikan penghargaannya terhadap sumbangan Keppel kepada golongan yang kurang bernasib baik meski dalam keadaan ekonomi pandemik sekarang.

Presiden Halimah meluahkan harapannya supaya lebih ramai yang turut sama-sama menyumbang kepada Cabaran Presiden.

"Ramai yang mendapati kehidupan mereka terjejas dek pandemik. Dengan sokongan rakan kongsi seperti Keppel Club, Cabaran Presiden telah berupaya mengerah sumber untuk menyokong mereka yang memerlukan.

"Kita perlu terus bekerjasama rapat, untuk menaikkan semangat masyarakat dan juga memperkasa mereka," katanya.

Menurut Puan Halimah, salah satu agensi dan program yang bakal meraih manfaat daripada dana tersebut termasuk Program Permulaan Awam Keluarga (ESFP) oleh Persatuan Sindrom Down (DSA).

Antaranya, ia menyediakan sesi terapi dalam talian untuk membantu mempertingkat keberkesanan latihan yang diberikan kepada ibu bapa dan anggota keluarga supaya mereka dilengkapkan dengan kemahiran yang sesuai.

Acara golf amal semalam juga yang terakhir diadakan di lokasi Keppel Club di Bukit Chermin.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti