Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeprihatinan diteliti, kerjasama buka jalan huraian
Keprihatinan diteliti, kerjasama buka jalan huraian
SELAMA berbulan-bulan, banyak firma penyedia khidmat perkahwinan yang teruk terjejas dengan sekatan mengadakan majlis disebabkan Covid-19.
Sekumpulan syarikat itu kemudian tampil bersama mengambil langkah mengemukakan keprihatinan mereka kepada pihak Menteri.
Mereka bergabung tenaga dengan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), yang turut mengutarakan maklum balas mereka kepada agensi pemerintah yang relevan.
Pelbagai keprihatinan dan saranan itu turut dibentangkan dalam satu sesi dialog bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, anjuran Berita Harian baru-baru ini.
Oleh itu, kelonggaran membenarkan sehingga 100 tetamu menghadiri majlis perkahwinan, serta skim rintis untuk mengadakan majlis perkahwinan di kolong blok, sudah tentunya dialu-alukan dan dinantikan pelbagai pihak - dari pihak syarikat, Dewan, hingga pasangan mempelai dan keluarga mereka.
Pemilik Charisma Bridal and Catering, Cik Salwah Baharudin, berkata: "Ini berita baik kerana kami telah kerja keras, pergi sana sini, untuk melobi bagi kelonggaran itu. Alhamdulillah akhirnya dapat juga."
"Sebelum ini, dengan had 50 orang pun kami sudah amalkan langkah keselamatan, jadi kami boleh teruskan dengan apa yang kami lakukan walaupun dengan kelonggaran baru ini."
Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) kelmarin mengumumkan beberapa kelonggaran bagi kegiatan di Singapura, sedang bilangan kes Covid-19 dalam masyarakat kekal rendah.
Pemilik Irmaya Wedding Gallery, Cik Nurmaya Mohd Salleh, pula berkata aturan jarak selamat seperti ini boleh membuka laluan kepada lebih ramai tetamu pada masa depan.
"Kalau 50 orang pada suatu masa, kami boleh adakan empat slot, jadi jumlah tetamu menjadi 200 orang. 100 tetamu masih rendah.
"Kalau nak dibandingkan di tempat lain macam pantai, lagi ramai orang," ujarnya, yang melahirkan harapan lebih banyak kelonggaran akan diberikan secepat mungkin.
Pemilik Iza Wedding & Catering, Cik Juniliza Sabri, pula bersetuju dengan langkah untuk mengekalkan had 50 tetamu pada setiap slot waktu dan setiap zon, walaupun lebih banyak slot dan zon boleh disediakan.
"Saya fikir biar bilangannya kecil dahulu. Lebih mudah untuk dikawal. Kalau terlalu ramai orang pada sesuatu masa pun susah nak kawal.
"Sebagai syarikat kami juga perlu memainkan peranan kami kerana kalau apa-apa yang berlaku nanti, kami yang kena tanggungjawab," ujarnya.
Sikap bertanggungjawab dan semangat kerjasama oleh pemilik perniagaan amat dihargai Presiden DPPMS, Encik Farid Khan.
Sejak permulaan Fasa Satu pembukaan ekonomi Singapura, pihaknya telah meluangkan banyak masa berbincang dengan pihak berkepentingan seperti pemilik perniagaan dan agensi awam mengenai langkah menyambung semula kegiatan secara selamat.
"DPPMS amat menghargai bantuan dan maklum balas yang diberikan pemilik perniagaan daripada industri ini, dan terharu dengan sikap pemilikan yang ditunjukkan anggota mengenai isu ini, yang penting bagi kemampanan industri ini.
"Pada masa yang sama, DPPMS ingin menarik perhatian bahawa keselamatan orang awam adalah penting, dan menggesa semua pemilik perniagaan untuk bersikap tanggungjawab secara sosial sambil memastikan langkah pengurusan keselamatan dipatuhi," ujar Encik Farid.
Tambahnya, dewan akan memberikan panduan lanjut mengenai perkara ini kepada anggotanya.
Kata Encik Farid lagi, masih terdapat beberapa isu yang perlu dihuraikan bagi industri perkahwinan dan acara seperti pembatalan acara dan pemulangan wang.
"Kami terus mendekati pihak berkepentingan relevan dan bekerjasama dengan Peguam@M3 untuk menyediakan sokongan bagi anggota yang menghadapi isu ini," ujarnya.
Pihak syarikat penyedia khidmat perkahwinan pula bersedia untuk terus memberi kerjasama, dan melihat manfaat daripada pendekatan tersebut.
"Kami ingin terus kerjasama dengan pihak berkuasa. Pihak atasan juga perlu maklum balas dari bawah.
"Sudah tentu kami akan terus bekerja rapat dengan mereka bagi mencapai hasil yang menguntungkan semua pihak," kata Cik Salwah.
Langkah terbaru ini juga diharapkan dapat mengimbangi kepentingan pelbagai pihak, kata Encik Zaqy.
"Bagi industri perkahwinan, saya berterima kasih kepada firma penyedia majlis perkahwinan dan DPPMS kerana bertemu dengan saya dan pelbagai agensi pemerintah semasa tempoh ini untuk meninjau bagaimana untuk melakukan ini dengan selamat.
"Saya menaruh harapan ini akan membantu mengimbangi kepentingan pemilik perniagaan dan pasangan mempelai serta kesihatan orang awam dengan rancangan perkahwinan mereka semasa tempoh sukar ini," kata Encik Zaqy.
"Bagi industri perkahwinan, saya berterima kasih kepada firma penyedia majlis perkahwinan dan DPPMS kerana bertemu dengan saya dan pelbagai agensi pemerintah semasa tempoh ini untuk meninjau bagaimana untuk melakukan ini dengan selamat. Saya menaruh harapan ini akan membantu mengimbangi kepentingan pemilik perniagaan dan pasangan mempelai serta kesihatan orang awam dengan rancangan perkahwinan mereka semasa tempoh sukar ini. - Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
"DPPMS amat menghargai bantuan dan maklum balas yang diberikan pemilik perniagaan daripada industri ini, dan terharu dengan sikap pemilikan yang ditunjukkan anggota mengenai isu ini, yang penting bagi kemampanan industri ini. Pada masa yang sama, DPPMS ingin menarik perhatian bahawa keselamatan orang awam adalah penting, dan menggesa semua pemilik perniagaan untuk bersikap tanggungjawab secara sosial sambil memastikan langkah pengurusan keselamatan dipatuhi." - Presiden DPPMS, Encik Farid Khan.