Topik diikuti
Pergi ke BHkuKeputusan GCE 'N' diumum 19 Dis
Keputusan GCE 'N' diumum 19 Dis
PELAJAR yang menduduki peperiksaan GCE peringkat 'N' tahun ini akan menerima keputusan mereka Isnin depan, umum Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) pada Isnin (12 Dis). Pengaturan telah dibuat untuk calon sekolah mendapatkan keputusan mereka sama ada di bilik darjah mulai 2 petang, atau melalui dalam talian menerusi laman web SEAB mulai 2.45 petang. Ibu bapa atau penjaga boleh menemani calon ke sekolah untuk mengambil keputusan mereka. Perincian susunan mengambil keputusan akan dikongsikan pihak sekolah. Calon yang tidak sihat atau perlu mengasingkan diri kerana ujian Covid-19 yang positif tidak boleh pergi ke sekolah tetapi harus melihat keputusan mereka di laman web SEAB. Calon yang mempunyai akaun Singpass boleh mengakses sistem keluaran keputusan dalam talian SEAB, yang akan tersedia sehingga 11.59 malam pada 30 Disember. Mulai Rabu, pelajar antarabangsa boleh mengakses sistem menggunakan nama pengguna yang dijana sistem yang dihantar ke alamat e-mel mereka, yang telah disediakan oleh sekolah mereka kepada lembaga. Bagi calon persendirian, slip keputusan akan dipos pada Isnin depan ke alamat yang mereka berikan. Calon juga boleh melantik proksi untuk mengambil keputusan mereka. Mereka yang memperoleh markah agregat kelayakan boleh dinaikkan ke menengah lima pada 2023. Semua calon yang memohon mengikuti kursus di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) boleh berbuat demikian melalui laman web ITE antara 2.30 petang Isnin depan dengan 5 petang pada 22 Disember.