MENGETEPIKAN peluang mendapat ijazah sarjana muda dalam Sosiologi di sebuah universiti tempatan setelah selesai menjalani Perkhidmatan Negaranya (NS), Staf Sarjan (SSGT) Adib Mattar membuat keputusan menyertai Pasukan Polis Singapura (SPF).

Beliau terdorong melakukan hal tersebut setelah melihat Komandernya ketika itu yang sentiasa mementingkan kebajikan pegawainya dan mengambil berat tentang kerja keras yang mereka lakukan.

Beliau kagum dengan apa yang dilihatnya.

SSGT Adib, 31 tahun, memilih menjadi pegawai SPF sepenuh masa sejak 2010.

Keputusan beliau itu jelas suatu yang tepat.

Beliau bukan sahaja berjaya mendapatkan ijazah sarjana muda setelah mendapat biasiswa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada 2015, malah muncul antara dua pelajar terbaik bagi kohortnya.

SSGT Adib merupakan penerima Hadiah Buku MHA tiga tahun berturut-turut dari 2016 hingga 2018.

Namun, pencapaian tersebut tidak datang bergolek.

Pada tahun pertama di Institut Teknologi Singapura (SIT)-Universiti Liverpool pada 2015, beliau kehilangan ibu tercinta, dan ia masa yang begitu sukar baginya.

Mujur, sokongan daripada keluarga dan teman-teman membantu mendorongnya melakukan yang terbaik.

"Kakak saya beritahu saya 'Dapatkannya (Hadiah Buku MHA) untuk ayah', jadi saya terdorong oleh itu.

"Saya benar-benar mahu lakukannya untuk beliau, jadi itu merupakan antara motivasi saya," ujar anak bongsu dari empat beradik itu.

Keinginan membahagiakan ayahnya itu, yang disifatkan SSGT Adib sebagai "tunjang keluarganya" menjadi pendorong beliau bekerja keras dan mencapai yang terbaik dalam pendidikan beliau.

Kini, setelah tamat pengajian tiga tahunnya dalam jurusan Kriminologi dan Kajian Keselamatan, SSGT Adib, yang belum berumah tangga, akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sebagai pegawai Pasukan Respons Darat (GRF).

Beliau menerima Hadiah Buku MHA yang diberikan kepada dua pelajar terbaik dalam setiap kohort dan tiga pelajar dengan kertas disertasi terbaik semalam pada majlis penyampaian anugerah tersebut serta biasiswa dan tajaan MHA lain di ibu pejabat MHA.

Sebanyak sembilan Hadiah Buku MHA telah diberikan kepada tujuh pegawai tahun ini.

Seramai 201 pegawai Home Team telah menerima biasiswa, tajaan atau anugerah pembelajaran MHA pada majlis tersebut.

Semestinya, ayah SSGT Adib, Encik Abdul Rahim Shaikh Omar Mattar, 69 tahun, turut hadir di acara tersebut bagi melihat anaknya menerima hadiah buku itu.

Sementara itu, 55 biasiswa Kementerian Pembangunan Negara Pertukaran Pertumbuhan dan Pembangunan Eksekutif (MND Edge) turut diberikan semalam di Auditorium MND di Maxwell Road.

Program biasiswa MND Edge itu merupakan projek pembangunan bakat bersama yang ditawarkan oleh MND dan lembaga berkanunnya.

Para penerima biasiswa akan menyertai lembaga berkanun tersebut selepas tamat pengajian.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti