'Keputusan sukar dipikul pemerintah, bukan dewan fiskal bebas'
'Keputusan sukar dipikul pemerintah, bukan dewan fiskal bebas'
TANGGUNGJAWAB membuat keputusan sukar di hujung hari terletak pada bahu pemerintah yang dilantik, dan bukan anggota dewan fiskal bebas yang bukan wakil rakyat di Parlimen, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Pembangunan Negara, Cik Indranee Rajah.
Beliau berkata demikian ketika membahas usulan agar diwujudkan Majlis Fiskal Bebas seperti yang disarankan anggota Parti Pekerja, Profesor Madya Jamus Lim.
Profesor Lim berkata Majlis Fiskal Bebas boleh menilai cadangan dasar utama yang diajukan secara formal oleh pemerintah, dengan kos sebanyak $20 juta diperlukan bagi menubuhkan dewan tersebut.
"Majlis Fiskal Bebas, pada persimpangan ekonomi kita ini, boleh berperanan berguna, memandangkam kita sedang mengalami defisit Belanjawan terbesar sejak merdeka, dengan ketidaktentuan yang ketara dijangka... ini berbeza daripada masa-masa lalu apabila pemerintah kita menguruskan Belanjawan yang seimbang dari penggal ke penggal dan mungkin tidak memerlukan institusi ini," kata Profesor Lim.
Namun, Cik Indranee bertanyakan nilai cadangan sedemikian serta apa keperluan yang perlu ditangani.
Beliau menekankan kepentingan memahami konteks di mana institusi fiskal bebas (IFI) ditubuhkan, dan bagaimana konteks di negara-negara lain berbeza daripada Singapura.
Di negara-negara lain di mana IFI ditubuhkan berikutan Krisis Kewangan Global pada 2008 hingga 2009, defisit dan hutang pemerintah adalah tinggi.
Peraturan fiskal di negara-negara tersebut juga tidak mencukupi untuk memastikan pengurusan kewangan awam yang berhati-hati, mewujudkan keperluan IFI bagi melindungi disiplin fiskal, menghapuskan Belanjawan yang tidak boleh dipercayai serta membina semula kepercayaan masyarakat terhadap keupayaan pembuat dasar menguruskan Belanjawan awam secara berhati-hati dan telus.
"Kekurangan yang telah menyebabkan keperluan IFI dalam sistem lain tidak wujud dalam sistem kita dan kami terus mengawasi dan berhati-hati dalam kewangan kita.
"Kami telah menerapkan sistem yang kuat untuk meneliti perbelanjaan dan membahaskan hal-hal Belanjawan tanpa menanggung kos penubuhan institusi pemantauan fiskal tambahan," jelas Cik Indranee.
Beliau akur analisis yang telus dan mantap adalah penting untuk membolehkan perbahasan dalam parlimen yang berdasarkan pengetahuan yang kukuh.
"Namun, ini bukan pengganti bagi mempunyai keberanian politik untuk membuat pilihan Belanjawan yang sukar.
"Anggota dewan fiskal bebas bukan wakil dilantik di Parlimen, tanggungjawab membuat keputusan sukar di hujung hari terletak pada pemerintah yang dilantik," ujar Cik Indranee.

