PEMBINAAN stesen MRT Loyang di sepanjang Laluan Rentas Pulau (CRL) dijangka bermula sebelum hujung tahun ini, dengan beberapa lencongan lalu lintas diperlukan di kawasan itu untuk memudahkan kerja tersebut.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) semalam berkata pihaknya telah memberi kontrak $748 juta bagi reka bentuk dan pembinaan stesen dan terowong itu kepada usaha sama Woh Hup dan cabang Singapura Dongah Geological Engineering. Kedua-dua syarikat itu terlibat dalam pembinaan stesen MRT lain di Singapura.
Kerja-kerja itu juga termasuk pembinaan sebahagian jejambat kenderaan di atas stesen baru itu.
Stesen Loyang, yang terletak di Loyang Avenue, stesen ketiga di sepanjang CRL. Ia sebahagian daripada 12 stesen yang akan dibina dalam fasa pertama laluan itu (CRL1).
Pembinaan CRL1 sepanjang 29 kilometer itu dijangka selesai menjelang 2030.
LTA berkata beberapa lencongan lalu lintas akan diperlukan untuk menyusun semula banyak utiliti di bawah jalan raya tempat stesen itu akan didirikan.
Ia juga berkata kerja penggalian bagi stesen itu akan dijalankan dalam keadaan tanah yang mencabar kerana batu-bata rata-rata lemah pada bahagian peralihan antara aluvium (tanah halus daripada mendapan lumpur atau pasir) lama yang lembut dan granit Bukit Timah yang keras.
"Ini memerlukan penggunaan mesin yang direka khas untuk menjalankan penggalian dengan selamat," kata LTA.
"LTA dan kontraktor akan memantau dengan teliti bagi memastikan kerja-kerja itu dapat dijalankan dengan selamat dan mengurangkan segala kesulitan."
Bagi jejambat yang dirancang dibina di atas stesen itu, LTA berkata ia akan terletak di sepanjang Loyang Avenue antara Ekspreswe Tampines dan Loyang Way.
Setelah jejambat itu selesai dibangunkan, penduduk dan pemandu di Changi boleh menjangkakan kemudahan yang dipertingkat, masa perjalanan lebih singkat dan kesalinghubungan dalam dan antara bandar yang lebih baik.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg