GANGGUAN terhadap sistem pelepasan imigresen di pusat pemeriksaan darat dan udara pada 31 Mac berpunca dari masalah teknikal semasa percubaan menaik taraf sistem biometrik di pusat-pusat tersebut.
Kejadian itu telah menjejas lebih 85,000 penumpang udara dan darat sebelum keadaan kembali seperti biasa empat setengah jam kemudian.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sedang menyemak pendekatan terhadap proses naik taraf sistem pemeriksaan menyusuli insiden itu, ujar Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Tambahnya, ICA akan meneruskan proses naik taraf sistem itu secara bertahap, namun akan memastikan penumpang tidak terjejas semasa proses tersebut.
Menjawab pertanyaan beberapa Anggota Parlimen (AP) berkaitan insiden itu di Parlimen Jumaat, Dr Faishal menjelaskan bahawa percubaan tersebut diperlukan bagi menaik taraf Sistem Pemeriksaan Biometrik Berbilang Modal (MMBS) itu, yang menggunakan imbasan cap jari, wajah dan iris mata untuk mengenal pasti pengguna.
Namun, sistem tersebut tidak dapat menampung keperluan proses percubaan itu dan mengalami gangguan sekitar 10.40 pagi, menyebabkan proses percubaan itu dihentikan serta merta.
Dr Faishal menambah, pada masa itu vendor berada di pusat-pusat pemeriksaan untuk memastikan operasi kembali seperti biasa dalam tempoh setengah jam jika timbul sebarang masalah.
Namun, gangguan yang berlaku itu "lebih teruk daripada apa yang dijangkakan" dan mengambil masa lebih empat setengah jam sebelum keadaan kembali seperti biasa.
ICA telah melaksanakan pelan untuk meneruskan operasi sebaik gangguan tersebut berlaku, dan telah meminta pegawai yang tidak bertugas membantu mengendalikan kaunter imigresen secara manual dan mengawal keadaan.
Proses untuk meneruskan operasi dilaksanakan di semua pusat pemeriksaan, dan kesemua kaunter manual serta beberapa laluan automatik bertukar menggunakan sistem sandaran atau 'backup'.
Namun, menurut Dr Faishal, tidak semua laluan automatik mempunyai keupayaan tersebut disebabkan model yang berbeza.
Perjalanan pengguna pusat pemeriksaan darat ditunda sekitar 30 minit pada awalnya.
Di Pusat Pemeriksaan Woodlands pula, pemandu yang menggunakan laluan kereta terjejas lebih satu setengah jam memandangkan zon ketibaan kereta perlu diubah kepada laluan pelepasan motosikal.
Dr Faishal menambah, imigresen di dewan pelepasan lapangan terbang terjejas teruk, dan ICA telah meningkatkan jumlah kaunter manual.
Kumpulan Lapangan Terbang Changi (CAG) juga telah membantu dengan mengerah duta belia Changi dan kakitangan pejabat bersama pengurus terminal CAG yang bertugas serta pasukan kastam, imigresen dan kuarantin CAG.
Sebanyak 30,000 penumpang dari 113 pesawat yang berlepas dari Singapura serta 111 pesawat yang tiba di Singapura pada hari itu terjejas. Sekitar 21 penumpang tertinggal pesawat mereka.
Menurut Dr Faishal, mereka telah ditawarkan tempahan tiket baru yang boleh digunakan dalam tempoh seminggu tanpa bayaran tambahan.
Katanya: "Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk mengurangkan gangguan teknikal dan mempertingkat daya tahan sistem.
"Namun realitinya, gangguan tetap akan berlaku. Apabila ia berlaku, kami akan memastikan pelan sandaran dapat dilaksanakan dan memastikan keadaan kembali seperti biasa secepat mungkin."
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg