SINGAPURA mengalu-alukan usaha Kumpulan 20 (G-20) bekerjasama dengan pertubuhan antarabangsa dan serantau termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memberi bantuan kemanusiaan dan keperluan lain kepada penduduk Afghanistan.
Menulis di Facebook pada Selasa (12 Oktober) mengenai pengalamannya menghadiri Mesyuarat Pemimpin Luar Biasa G-20 mengenai Afghanistan (ELMA) secara maya pada Selasa malam, Perdana Menteri Lee Hsien Loong, berkata:
"Kami berharap semua pihak akan menahan diri daripada melakukan keganasan dan sebaliknya mencapai persetujuan menerusi perundingan damai dan inklusif berhubung dengan cara bagi negara ini (Afghanistan) maju.
"Kepentingan penduduk Afghanistan akan lebih baik ditangani pemerintah yang bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa bagi membangun semula negara itu dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan dalam rantau ini dan secara sejagat.
"Ini termasuk memastikan Afghanistan tidak menjadi pangkalan bagi pengganasan lagi."
Encik Lee juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Italy, Encik Mario Draghi kerana kepimpinannya dan Italy dalam mengadakan mesyuarat ini bagi menyentuh tentang cabaran situasi di Afganistan.
Pemimpin G-20 berhimpun pada Selasa bagi satu sidang puncak maya yang memberi tumpuan pada menyelongkar krisis kemanusiaan di Afghanistan dengan Kesatuan Eropah memulakan sesi perbincangan dengan mengumumkan pakej bantuan bernilai AS$1.2 bilion ($1.6 bilion).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg