Dua program perintis akan dimulakan tidak lama lagi untuk menguji sama ada alat penjejak yang boleh dipakai dapat memberi maklum balas spontan bagi membantu individu meningkatkan tahap kesihatan mereka.
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), yang menjalankan projek itu dengan kerjasama syarikat teknologi dan penjagaan kesihatan, menyatakan projek tersebut dapat membantu individu berisiko menghidap penyakit kronik melambatkan kemunculan penyakit, serta membantu penghidap penyakit kronik mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik.
Di bawah program pertama, DigiCoach, sehingga 2,500 peserta akan memakai alat yang memantau tahap glukosa mereka secara berterusan dan memberi mereka maklumat spontan mengenai perubahan bacaannya sepanjang hari, selari dengan diet dan kegiatan fizikal yang dijalankan.
DigiCoach akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan multinasional Amerika Syarikat, Abbott, yang menghasilkan alat pemantauan glukosa berterusan (CGM) itu, dan Health2Sync, syarikat yang membangunkan penyelesaian penjagaan kesihatan untuk menyokong individu dengan prakencing manis dan Indeks Jisim Tubuh (BMI) yang tinggi.
Di bawah projek HealthTrack SG pula, HPB akan bekerjasama dengan Google; syarikat teknologi kesihatan tempatan, ConnectedLife; dan Fullerton Health untuk menguruskan tekanan darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi pesakit.
Projek itu akan menyepadukan data daripada 3,500 peserta melalui pelbagai aplikasi penjejakan ke dalam satu platform, untuk digunakan jurulatih kesihatan di Fullerton Health dalam sesi kaunseling kesihatan mereka, lapor The Straits Times.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HPB, Encik Tay Choon Hong, berkata HPB sentiasa meneroka pelbagai inovasi untuk memperkasa rakyat Singapura mengurus kesihatan mereka dengan lebih baik.
“Kolaborasi terbaru kami... membuka jalan untuk kami menguji penyelesaian baru yang dapat memberikan saranan yang lebih pantas dan praktikal kepada rakyat Singapura untuk mencegah atau mengurus penyakit kronik,” katanya.
Pengambilan peserta untuk DigiCoach bermula pada Julai dan akan berlangsung selama 10 bulan, hingga April 2025.
Fullerton Health pula akan memulakan pengambilan peserta untuk HealthTrack SG pada separuh pertama 2025, dan memantau peserta yang layak selama setahun.
Melalui program perintis itu, HPB menyasarkan untuk menilai keberkesanannya untuk diterapkan secara lebih meluas dalam mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat Singapura.
Selain itu, program penjagaan pencegahan nasional yang dilancarkan pada Julai 2023, SG Lebih Sihat, bertujuan menggalakkan orang ramai supaya lebih peka mengenai kesihatan mereka.
Pada ulang tahun ke-20 Kajian Kesihatan Populasi Singapura (SPHS) pada 9 November, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, mengumumkan bahawa mulai akhir November, Pelan Kesihatan di bawah SG Lebih Sihat – menerusi aplikasi HealthHub – akan lebih disesuaikan mengikut keperluan kesihatan pengguna.
“Bagi mereka yang telah mendaftar dalam SG Lebih Sihat, doktor keluarga anda boleh memberikan cadangan diet dan senaman yang lebih khusus dan praktikal semasa sesi konsultasi,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg