PENGENDALI kedai kopi Kimly akan bekerjasama dengan Tenderfresh Fried & BBQ Chicken untuk membuka kedai makan di Clementi, kata syarikat tersenarai Catalist itu dalam kenyataan kepada bursa saham pada Selasa (3 Nov).
Di bawah kerjasama itu, Kimly memiliki 51 peratus perniagaan manakala Tenderfresh 49 peratus, lapor akhbar The Business Times.
Syarikat usahasama itu diberi nama Kedai Kopi, kata Kimly.
Kedai kopi di Blok 380 Clementi Avenue 5 itu baru-baru ini dibeli anak syarikat Kimly dan akan diberi jenama Kedai Kopi.
Ia akan melalui kerja-kerja peningkatan dan disasarkan untuk dibuka semula sekitar pertengahan Disember.
Ini merupakan perniagaan pertama Kimly dalam industri makanan halal dan syarikat tersebut berkata ia "kena pada waktunya" untuk memanfaatkan pasaran halal dengan jumlah penduduk Muslim di sini sekitar 14 peratus, atau sekitar 789,000 orang.
Kimly berkata industri makanan halal pesat berkembang dan bilangan pensijilan halal diberikan kepada premis dan produk dalam 2018 seganda daripada sedekad lalu. - The Business Times


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg