Penyedia khidmat jagaan kesihatan IHH Healthcare Singapore (IHH SG) dan Politeknik Nanyang (NYP) telah menandatangani kerjasama selama tiga tahun untuk menyediakan khidmat yang lebih baik untuk pesakit.
Menerusi Parkway College, anak syarikat IHH SG yang menawarkan kursus akademik dalam bidang kejururawatan dan penjagaan kesihatan, ia menyasarkan untuk melengkapkan 80 kakitangan pusat itu dengan kecekapan pemikiran untuk mereka bentuk dan meningkatkan khidmat jagaan kesihatan.
Latihan yang ditawarkan juga akan membolehkan karyawan penjagaan kesihatan menyepadukan pemikiran inovasi dengan kaedah demi meningkatkan mutu perkhidmatan.
Kerjasama itu akan berlangsung sehingga 2026.
Dalam satu kenyataan bersama, IHH SG dan NYP berkata, kerjasama tersebut ditandatangani menyusuli satu usaha rintis pada Mei 2022 yang telah menghasilkan sebuah mesin mainan layan diri yang membuat pengalaman pesakit kanak-kanak di jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) Hospital Parkway East lebih menarik.
Usaha tersebut melibatkan seramai 21 kakitangan IHH SG menjalani Program Pemikiran Reka Bentuk dan Rombakan Semula Pekerjaan Transformasi Perniagaan.
Selepas menjalani latihan, Sekolah Reka Bentuk dan Media NYP membangunkan idea untuk menghasilkal prototaip yang dapat berfungsi penuh – iaitu mesin mainan layan diri interaktif dan menarik di hospital di Joo Chiat Place itu.
Ia dilengkapi dengan ciri-ciri angkasa yang membuat pengalaman bagi pesakit kanak-kanak kecil dan pengasuh mereka lebih menarik.
“Sebagai sebahagian MOU itu, NYP akan meluaskan amalan pemikiran reka bentuk dalam industri jagaan kesihatan,” kata kenyataan bersama itu.
“Kerjasama itu juga akan membolehkan pelajar NYP menjadi pelatih di IHH SG untuk meraih pengalaman praktikal serta bekerjasama dengan karyawan operasi dan jagaan kesihatan bagi mengamalkan pemikiran dari sudut reka bentuk.”
IHH SG adalah penyedia khidmat penjagaan kesihatan swasta terbesar di Singapura yang mengendali hospital privet terkemuka seperti Gleneagles, Mount Elizabeth, Mount Elizabeth Novena Hospital dan Parkway East.
“
Sebagai sebahagian MOU itu, NYP akan meluaskan amalan pemikiran reka bentuk dalam industri jagaan kesihatan. Kerjasama itu juga akan membolehkan pelajar NYP menjadi pelatih di IHH SG untuk meraih pengalaman praktikal serta bekerjasama dengan karyawan operasi dan jagaan kesihatan bagi mengamalkan pemikiran dari sudut reka bentuk.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg