Kerjaya jurutera perlu dipertingkat agar berdaya saing: Desmond
Kerjaya jurutera perlu dipertingkat agar berdaya saing: Desmond
Kerjaya jurutera perlu dipertingkat agar berdaya saing: Desmond

SATU skim akreditasi baru sedang diusahakan untuk jurutera perunding sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan pengiktirafan karyawan persekitaran binaan di kalangan majikan dan pembeli perkhidmatan, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, semalam.
Dalam ucapannya di acara Hari Dedikasi Lembaga Jurutera Profesional (PEB) itu, Encik Lee bercakap tentang bagaimana jurutera akan membantu Singapura menangani cabaran masa depannya seperti gangguan rantaian bekalan dan ancaman perubahan iklim.
Justeru, negara ini memerlukan kumpulan bakat kejuruteraan yang mantap bagi merealisasikan visinya untuk mempunyai sektor persekitaran binaan yang lebih digital, produktif dan mampan.
"Bagaimanapun, kami sedar bahawa menarik dan mengekalkan bakat terus menjadi cabaran bagi bidang kejuruteraan dan sektor persekitaran binaan secara amnya.
"Saya ingin memberi jaminan bahawa pemerintah telah memulakan beberapa usaha, bersama rakan industri kami, untuk menjadikan kerjaya dalam bidang dan sektor ini lebih mendatangkan kepuasan, bermakna dan berdaya saing," kata Encik Lee.
Antara lain, pemerintah melabur dalam bakat dengan menggalak peningkatan kemahiran dan kemahiran semula. Ini bagi mencipta lebih banyak peluang untuk pertumbuhan dan kemajuan.
Bagi memudahkan laluan kemajuan kerjaya yang lebih berstruktur, Encik Lee berkata pemerintah bekerjasama dengan pihak berkepentingan industri untuk membangunkan Rangka Kerja Kemahiran untuk jurutera.
Rangka kerja itu boleh digunakan untuk menilai tahap kecekapan dan mencari bidang pertumbuhan yang sepadan dengan peranan dan tahap pekerjaan yang diinginkan.
Satu lagi usaha utama ialah meningkatkan pengiktirafan karyawan persekitaran binaan di kalangan majikan dan pembeli perkhidmatan. Ini boleh dilakukan melalui skim akreditasi, yang menggunakan cara standard untuk mengiktiraf kemahiran dan kecekapan, kata Encik Lee.
Beliau berkata Persatuan dan Dewan Perdagangan (TAC) sejak beberapa tahun kebelakangan telah melancarkan beberapa skim akreditasi untuk pelbagai set kemahiran persekitaran binaan seperti pengurusan pembinaan dan pengurusan projek.
"Keupayaan dalam bidang-bidang ini akan melengkapi kepakaran teknikal anda yang sedia ada dan membantu anda menjadi karyawan persekitaran binaan yang lebih menyeluruh. Jurutera perunding juga boleh menjangkakan skim akreditasi baru, yang sedang diusahakan," kata Encik Lee.
Acara semalam, yang bertema 'jurutera sebagai pemboleh utama untuk bandar bijak yang mampan dan berdaya tahan', mengiktiraf peranan dan sumbangan jurutera profesional dalam pembangunan persekitaran binaan Singapura.
Sebuah buku bagi memperingati ulang tahun ke-50 PEB turut dilancarkan. Berjudul 'Engineering the Future', buku itu mencatatkan pencapaian PEB dan usahanya membina negara sejak ditubuhkan pada 1971.
Di majlis itu, PEB memperkenalkan 66 jurutera profesional baru, 14 jurutera profesional pakar dan 12 jurutera profesional berkanun Asean.

