PEMERINTAH pada Rabu mengeluarkan kertas putih yang menilai respons Singapura terhadap Covid-19, serta menggariskan pengajaran untuk pandemik masa depan.
Kertas itu, yang akan dibahaskan di Parlimen hujung Mac, membentangkan perkara yang telah diatasi dengan baik, termasuk dalam melindungi nyawa dan mata pencarian, mengekalkan daya tahan sistem penjagaan kesihatan, serta memberi vaksinasi kepada penduduk.
Namun, kertas itu juga akur terhadap perkara yang boleh diperbaiki termasuk dalam mengurus penularan di dormitori pekerja migran, dasar awal terhadap pemakaian pelitup, dan fleksibiliti mengurus langkah selamat.
Berikut sekilas dapatan dalam Kertas Putih itu:
Tujuh pengajaran untuk pandemik masa depan:
1. Perlu jelas dari awal lagi apa keutamaan, dan pantas sesuaikan diri kepada situasi berubah.
2. Perkukuh daya tahan Singapura sebagai ekonomi, masyarakat dan negara, dan lebih bersedia hadapi gangguan dan pulih kembali.
3. Tingkat usaha untuk manfaatkan kekuatan sektor masyarakat dan privet. Pemerintah harus bangun ekosistem untuk sokong dan pupuk hubungan di luar krisis.
4. Bangun secara sistematik kepakaran kesihatan awam dan keupayaan pertubuhan untuk atasi pandemik masa depan.
5. Terapkan penggunaan sains dan teknologi dalam pengurusan krisis pandemik. Ini termasuk melabur dalam sistem data saling kendali dan keupayaan kejuruteraan.
6. Perkukuh struktur dan keupayaan rancang bagi masa depan, untuk beri respons kepada pandemik masa depan dengan lebih tangkas.
7. Kekal usaha menyampaikan hubungan awam yang telus dan jelas untuk jalin kepercayaan dan pastikan respons berkesan dalam krisis


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg