Seorang saksi pendakwaan yang memberi keterangan terhadap seorang lelaki yang didakwa menyebarkan doktrin menyeleweng daripada ajaran Islam, memberitahu mahkamah bahawa tertuduh menawarkan diri untuk memandikan anak perempuannya.
Saksi tersebut memberitahu mahkamah pada 9 Oktober bahawa upacara mandi itu memerlukan anaknya memakai kain sarung dan dimandikan tertuduh demi mengubati gangguan kebimbangan anaknya.
Namun, anaknya berkeras hendak mandi sendiri.
Saksi, yang tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah, berkata anaknya mempunyai sejarah berkaitan masalah dibelenggu kebimbangan dan telah mendapatkan rawatan perubatan.
Tertuduh, Mohd Razif Radi, warga Singapura berusia 67 tahun, dibicarakan atas satu pertuduhan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) kerana menyebar ajaran bertentangan dengan undang-undang Islam.
Menurut dokumen mahkamah, Razif, yang tidak pernah diiktiraf sebagai asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), dituduh melakukan kesalahan itu antara 2004 dengan 2020 dengan menyampaikan tiga ajaran palsu.
Ajaran tersebut adalah: perjudian dibenarkan; lelaki dan perempuan boleh berkahwin secara sah melalui perkahwinan batin; dan dia berupaya memanggil roh ‘Mbah’, yang kononnya ‘nabi terakhir’ atau daripada keturunan nabi.
Saksi dan isterinya bercerai pada 2017. Mereka mempunyai dua anak perempuan. Selepas bercerai, seorang anak tinggal bersama saksi dan seorang lagi bersama bekas isterinya.
Menurut saksi, Razif pada mulanya adalah rakan keluarganya tetapi tertuduh dan bekas isterinya mula meluangkan lebih banyak masa bersama. Bekas isterinya juga menghadiri kelas agama yang dikendalikan Razif.
Menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Hidayat Amir, saksi berkata abangnya memperkenalkannya kepada Razif pada 2002 kerana Razif mahir mengurut.
Razif, seorang bekas tukang urut, kemudian melawat rumah saksi di Clementi dan mengurut saksi, yang pada itu mengalami masalah belakang. Razif juga bertemu bekas isteri saksi ketika itu.
Pada September 2015, saksi menemui iPad bekas isterinya dan melihat, buat kali pertama, kandungannya.
Saksi berkata beliau menemui beberapa nota dalam iPad itu dan memetik gambarnya. Antara lain, nota itu menyatakan Razif memerlukan 13 isteri dan bekas isteri saksi harus menceraikan saksi.
Saksi memberitahu mahkamah bahawa beliau memaklumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tentang Razif pada 2015, tetapi apabila tidak mendapat cukup bantuan daripada Muis, beliau memberitahu media.
Saksi juga menceritakan satu peristiwa apabila bekas isterinya menyalam tangan Razif.
“Beliau (bekas isteri) tidak sepatutnya berbuat demikian kerana dia (Razif) bukan sebahagian daripada (keluarga) kami... Ia salah... Saya rasa terkejut melihat tindakan itu,” ujar saksi.
Apabila ditegur saksi, bekas isterinya memberitahunya bahawa jika beliau tidak tahu apa-apa, beliau harus “diam”.
Pada sekitar 2004 atau 2005, bekas isterinya meminta beliau membeli loteri 4-D untuknya.
Saksi memberitahu mahkamah: “Saya terkejut... Ini bukan Islam sama sekali. Beliau memberitahu saya beliau mahu membeli (berdasarkan) ramalan Razif…
“Saya agak marah (dan) tidak menyangka ini datang daripadanya (bekas isteri).”
Saksi kemudian mengadakan pertemuan keluarga dengan bekas isterinya dan adik-beradiknya.
“(Dalam pertemuan itu, bekas isteri) berkata saya tidak menyokong ‘misinya’ dan beliau mahu menamatkan perkahwinan... saya benar-benar terkejut,” kata saksi.
“Saya cuba bercakap dengannya… Tetapi beliau bertegas... Beliau mahu menamatkan perkahwinan kami secepat mungkin.”
Perbicaraan di hadapan Hakim Daerah Shaiffudin Saruwan disambung pada 10 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg