Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes baru Covid-19 kembali ke tahap biasa lepas naik mendadak kelmarin

Data jumlah sakit teruk, meninggal lebih penting bagi selamatkan nyawa: MOH
Oct 29, 2021 | 5:30 AM
5154d56d-1484-4c69-9a35-f27f7c8a3334
-

JUMLAH kes baru Covid-19 semalam di paras normal, tidak naik ke paras luar biasa seperti kelmarin, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) semalam.

MOH berkata dalam laman Facebook-nya malam tadi itu adalah data relevan bagi membantu menentukan kedudukan Singapura di keluk epidemik - apakah jumlah kes masih berganda setiap minggu, stabil atau berkurangan.

"Ini akan membimbing kami berhubung bila langkah sekatan boleh dilonggarkan dan memikirkan langkah seterusnya," ujarnya.

Namun, MOH menambah bahawa data yang menunjukkan jumlah orang sakit teruk dan meninggal dunia kekal lebih penting, dan bagi menyelamatkan seberapa banyak nyawa yang boleh, sistem penjagaan kesihatan harus mampu menanganinya dan tidak boleh terlalu tertekan.

Kelmarin, MOH melaporkan 5,324 kes baru Covid-19, termasuk 4,651 kes dalam masyarakat. MOH belum mengeluarkan jumlah kes baru semalam hingga akhbar ini dicetak malam tadi.

Mengulas tentang kenaikan mendadak kelmarin, beberapa doktor yang dihubungi Berita Harian meminta orang ramai jangan cemas, terus mematuhi langkah pengurusan selamat, dan mengelak pergi ke tempat ramai orang.

Seorang pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam, daripada Rophi Clinic di Hospital Mount Elizabeth Novena, berkata kenaikan tinggi itu menimbulkan persoalan apakah terdapat jangkitan tidak dikesan atau tidak disedari hingga kini atau apakah terdapat kesilapan teknikal di makmal ujian atau kit ujian yang menghasilkan keputusan positif palsu.

"Namun, orang ramai tidak perlu bimbang. Jumlahnya tidak penting. Sebaliknya, kita harus prihatin tentang perlindungan peribadi dan bertanya apakah kita sudah divaksinasi, apakah kita sudah mendapat suntikan penggalak, apakah kita memakai pelitup bagi dan adakah cara kita memakai pelitup itu betul," ujar Dr Leong.

Pengarah Khidmat Klinikal Hospital Mount Alvernia, Dr Djoni Huang, dan pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Pakar Pacific Healthcare, Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, berkata kenaikan mendadak itu mungkin disebabkan lebih ramai orang mendapatkan ujian reaksi rantai polimerase (PCR).

Antara lain mungkin kerana mereka lebih sedar dan bersedia mendapatkan ujian lebih awal, ujar Dr Huang.

Walaupun orang ramai dinasihatkan jangan cemas mengenai jumlah tinggi itu, Dr Nurhidayati menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga.

"Ini menunjukkan mungkin ada banyak lagi kes di luar sana. Oleh itu, orang ramai harus terus mengambil langkah meningkatkan sistem imun mereka dengan mengambil vitamin dan mendapatkan rehat mencukupi.

"Keluar rumah jika perlu sahaja dan jangan keluar jika sakit," ujar beliau.

Menarik perhatian tentang penggunaan unit jagaan rapi (ICU) yang kadarnya kini sekitar 80 peratus, doktor yang dihubungi berkata trend itu membimbangkan kerana ia boleh memberi tekanan ke atas sistem penjagaan kesihatan.

Dr Leong berkata jumlah pesakit memerlukan bantuan oksigen, termasuk yang dirawat di ICU, dijangka terus meningkat sepanjang dua minggu ini.

"Kita selalu fikir tentang katil apabila bercakap tentang sumber hospital, tapi kita lupa tentang elemen manusia. Apakah kita mempunyai doktor dan jururawat mencukupi dan apakah mereka berasa penat?" ujarnya, sambil berkata usaha merawat penyakit lain mungkin terjejas.

Usaha terbaik untuk tidak membuat sistem penjagaan kesihatan terlalu tertekan ialah mengurangkan kes Covid-19 harian, kata Dr Huang.

"Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing dan jika kita dapat saling membantu untuk mengawal penularan ini bersama, kita boleh menjangka keadaan kembali pulih lebih awal," ujarnya.

"Namun, orang ramai tidak perlu bimbang. Jumlahnya tidak penting. Sebaliknya, kita harus prihatin tentang perlindungan peribadi dan bertanya apakah kita sudah divaksinasi, apakah kita sudah mendapat suntikan penggalak, apakah kita memakai pelitup bagus dan adakah cara kita memakai pelitup itu betul." - Dr Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit daripadas Rophi Clinic di Hospital Mount Elizabeth Novena mengenai kes yang mendadak kelmarin.

"Ini menunjukkan mungkin ada banyak lagi kes di luar sana. Oleh itu, orang ramai harus terus mengambil langkah meningkatkan sistem imun mereka dengan mengambil vitamin dan mendapatkan rehat mencukupi. Keluar rumah jika perlu sahaja dan jangan keluar jika sakit." - Dr Nurhidayati Mohamed Suphan, pakar perbidanan dan sakit puan Pusat Pakar Pacific Healthcare.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg