Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes baru dalam masyarakat libatkan warga S'pura bekerja di depoh bas: MOH
Kes baru dalam masyarakat libatkan warga S'pura bekerja di depoh bas: MOH
SATU-SATUNYA kes dalam masyarakat yang disahkan pada Selasa (18 Ogos) melibatkan warga Singapura yang bekerja di depoh bas tetapi dalam peranan yang tidak memerlukannya bersemuka dengan orang awam. Pekerjaannya itu juga tidak melibatkan interaksi dengan penumpang dan kapten bas, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kenyataannya pada Selasa malam. Lelaki berusia 39 tahun itu disahkan positif Covid-19 semasa pemeriksaan yang dijalankan ke atas kakitangan dalam industri bas awam yang bekerja di depoh dan pusat pertukaran. Pemeriksaan itu adalah langkah berjaga-jaga setelah MOH mengesan beberapa kes di Hab Pengangkutan Bersepadu Bukit Panjang. Kes dalam masyarakat itu antara 100 yang disahkan pada Selasa. Dua kes import turut dilaporkan melibatkan seorang Penduduk Tetap (PR) yang pulang ke Singapura dari India pada 6 Ogos, dan seorang pemegang Pas Tanggungan yang tiba dari India pada 10 Ogos. Mereka diuji ketika menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di kemudahan yang dikhususkan. Baki 97 kes melibatkan pekerja asing yang menetap di asrama. Sementara itu, lagi 183 pesakit telah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat. Secara keseluruhan, 52,533 pesakit telah sembuh. Seramai 88 pesakit kini sedang dirawat di hospital dan 3,290 diasingkan dan dijaga di kemudahan masyarakat. Seramai 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi disebabkan oleh jangkitan Covid-19 di Singapura.