SEORANG pengarah syarikat telah mengarahkan seorang kakitangannya untuk menyembunyikan peti simpanan selamat yang mengandungi hampir $5 juta yang diperolehi secara haram apabila dia mengesyaki polis sedang mencari wang tersebut.

Wang dalam peti itu berkaitan dengan konspirasi penyelewengan minyak gas milik Shell Eastern Petroleum di tapak Pulau Bukom dan merupakan kepunyaan bapa saudara lelaki itu, Abdul Latif Ibrahim, yang banyak terlibat dalam perusahaan haram itu.

Pada Rabu (25 Mei), Muhammad Hafiz Ismail, 33 tahun, mengaku bersalah kerana perbuatannya itu dan dipenjara satu minggu. Kes Latif pula masih ditangani mahkamah.

Hafiz adalah pengarah Expedite Solutions dan Brispec Singapore yang merupakan firma dalam industri perhotelan.

Mahkamah diberitahu bapa saudaranya Latif pula adalah pembiaya dua syarikat itu.

Pada 2017, Latif memindahkan peti simpanan itu ke premis Brispec, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Norman Yew. Hafiz tahu tentang peti itu dan kandungannya yang merupakan milik bapa saudaranya.

Latif diberkas pada 2018 apabila polis menjalankan operasi serata pulau untuk menangkap mereka yang mempunyai kaitan dengan konspirasi Pulau Bukom itu.

Menyusuli kejadian itu, Hafiz menerima panggilan daripada polis yang memintanya memberikan lokasi kenderaan milik Latif.

Daripada panggilan itu, Hafiz dapat tahu bapa saudaranya telah ditangkap dan menghubungi salah seorang pengarah bersamanya, Syed Ahmad Aeqashah Syed Othman, bagi memindahkan peti simpanan itu daripada premis Brispec.

Dia memberitahu Syed Ahmad agar tidak memberitahunya tentang lokasi baru di mana peti itu disimpan.

Kata DPP: "Hafiz mahukan peti itu dipindahkan agar polis tidak menemuinya di premis di bawah jagaannya agar dia serta syarikatnya dapat dijauhkan daripada sebarang perbuatan jenayah Latif."

Syed Ahmad kemudian menghubungi pegawai logistik di Brispec, Encik Mohamad Fareed Hassan Marzuki dan juga bapa saudara Hafiz agar memindahkan peti itu tanpa memberitahu lokasinya. Peti itu dipindahkan ke unit simpanan barangan di Kaki Bukit.

Pihak polis kemudian mendapat tahu bahawa simpanan itu berada dengan Hafiz malah mengesyaki ia mengandungi wang hasil jenayah Latif. Bagaimanapun apabila Hafiz ditanya mengenainya, dia menipu dan menafikan dirinya tahu tentang peti itu.

Polis kemudian bertanya kepada Hafiz jika dia telah menghubungi sesiapa selepas mereka hubunginya awal sebelum itu. Hafiz menjelaskan dia telah menghubungi Encik Fareed.

Dalam perjalanan menemui Encik Fareed, Hafeez mengaku kepada polis bahawa dia tahu tentang peti itu dan mencarinya dengan bantuan Encik Fareed.

Polis kemudian dapat tahu bahawa peti itu dipindahkan di bawah arahan Hafiz. Apabila peti itu dirampas, $4.43 juta dan AS$243,100 (S$334,200) berupa wang tunai serta jongkong emas 100 gram ditemui.

Kandungannya milik Latif dan merupakan hasil daripada jenayah minyak gasnya, kata DPP Yew, yang meminta hukuman penjara dua hingga empat minggu dijatuhkan kepada Hafiz.

DPP Yew menambah, Hafiz melakukan jenayah itu untuk kepentingan peribadinya - bagi menjauhkan dirinya daripada dikaitkan dengan jenayah Latif, apabila tiada keperluan untuk berbohong.

Meminta agar hukuman penjara tidak melebihi seminggu diberikan kepada Hafiz, peguambelanya Justin Ng berkata anak guamnya akhirnya bekerjasama dengan polis yang kemudian dapat menemui peti simpanan itu tanpa banyak campur tangan.

Kesalahan itu membawa kesan besar buat Hafiz, bapa empat anak, yang berhenti daripada tugasnya dan kemungkinan kehilangan lesen sebagai penasihat kewangan, kata Encik Ng.

Dalam menjatuhkan hukumannya, hakim mendapati bahawa Hafiz tidak mengganggu bukti sambil menambah kesalahan itu dibuat atas kebodohan Hafiz sendiri.

Mereka yang secara sengaja menghalang proses keadilan boleh dipenjara hingga tuijuh tahun dan didenda.

Sekurang-kurangnya 26 orang telah diheret ke mahkamah atas penglibatan dalam konspirasi Pulau Bukom ini yang mula dikesan Shell pada 2015 apabila ia mendapati wujudnya kerugian yang ketara tetapi tidak dikenal pasti di Pulau Bukom