Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes budak buang kucing dari tingkat 22: AVS jalankan siasatan

Kes budak buang kucing dari tingkat 22: AVS jalankan siasatan
SIASATAN sedang dijalankan selepas satu keratan video tular di media sosial menunjukkan seorang budak lelaki didakwa membaling kucing dari tingkat 22 blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Boon Lay.
Menjawab pertanyaan media, Cik Jessica Kwok, pengarah kumpulan Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS), berkata pada Jumaat (16 Disember):
"Siasatan kes sedang dijalankan, dan kami meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai butiran kes itu dan membenarkan siasatan dijalankan sewajarnya."
Video seminit yang tular di media sosial pada Khamis malam menunjukkan seekor kucing hitam berjalan keluar dari lif, diikuti oleh budak lelaki itu.
Beberapa saat kemudian, budak itu mengambil haiwan itu dan, selepas memandang sekeliling, melontar kucing itu dari tingkat atas ke bawah.
Tidak lama kemudian kedengaran bunyi yang kuat.
Polis mengesahkan laporan sudah dibuat.
Akhbar The Straits Times dimaklumkan budak itu tidak ditangkap atau ditahan.
Cik Kwok berkata AVS,yang merupakan sebahagian daripada Lembaga Taman Negara, melarang penganiayaan terhadap haiwan.
Pesalah kali pertama yang ditangkap mendera haiwan berdepan dengan denda sehingga $15,000, penjara sehingga 18 bulan, atau kedua-duanya sekali.
Penduduk Boon Lay, Cik Umi Solikati, 39 tahun, berkata, beliau menemui seekor kucing mati dengan tubuhnya hancur, berhampiran tempat letak basikal di Blok 186, Boon Lay Avenue kira-kira 2 petang Rabu.
Beliau memberi makan kucing itu yang dikenali sebagai Panther oleh penduduk kejiranan tersebut, setiap hari selama 11 tahun.
"Saya terus memanggil namanya tetapi ia tidak bangun. Saya tidak tahu apa yang perlu saya lakukan, jadi saya tanamkan Panther di tempat berdekatan," kata Cik Umi, yang bekerja dalam bidang runcit.
"Panther ialah kucing yang sudah berusia dan tidak pernah menimbulkan sebarang masalah. Semua penduduk menyukainya," tambah Cik Umi lagi.
Seorang lagi penduduk, Cik Chua Mui Mui, 47 tahun, seorang pemandu bas, yang kerap memberi makan kucing di kawasan itu, berkata beliau menerima video itu pada Khamis dan memuatnaikkannya di Facebook.
"Dalam dua hingga tiga tahun lalu, lima ekor kucing dibuang dari blok yang sama," tambahnya.
"Kami semua masih terkejut. Jiran lain yang sama-sama memberi makan kepada kucing dan saya sendiri menangis apabila kami mendapat tahu tentang kematian Panther," jelasnya.
Anggota lembaga Persatuan Kebajikan Kucing (CWS), Encik Rifdi Rafiuddin, berkata pihaknya membantu penjaga kucing itu membuat laporan dengan AVS.
Merujuk kepada budak lelaki dalam video itu, Encik Rifdi berkata:
"CWS sedar bahawa polis telah berurusan dengan individu tersebut, dan kami telah memaklumkan perkara yang sama kepada AVS untuk tindakan susulan mereka.
"Kami juga membantu memudahkan pengumpulan bangkai kucing itu oleh AVS untuk bedah siasat."
Menganggap kejadian itu sebagai "amat membimbangkan", pengarah eksekutif Persatuan Cegah Kekejaman Ke Atas Binatang (SPCA), Cik Aarthi Sankar, berkata ahli pertubuhan itu telah melawat keluarga budak itu.
"Kami sedih kerana kucing itu telah meninggal dunia akibat kecederaan selepas jatuh dari ketinggian," katanya.
Beliau menambah bahawa SPCA akan membantu pihak berkuasa dengan siasatan mereka.
Petisyen Change.org yang menuntut keadilan untuk kucing itu telah mendapat lebih 40,699 tandatangan sehingga 11 malam Sabtu.