SEORANG lelaki yang dikaitkan dengan kematian adiknya mungkin berdepan dengan tuduhan lebih serius daripada dakwaan serangan yang diputuskan sebelum ini sementara pihak pendakwa menanti keputusan bedah siasat adiknya itu, Cik Huang Baoying, 19 tahun.
Menurut laporan The Straits Times, pada Rabu (19 Mei), pendakwa raya polis memberitahu Hakim Daerah Terence Tay bahawa punca kematian wanita ini tidak dapat dipastikan, sambil menambah, abangnya Huang Bocan, mungkin berdepan dengan lebih banyak tuduhan termasuk pengurungan yang tidak wajar.
Si abang yang berusia 29 tahun adalah salah seorang daripada tiga orang yang menggunakan batang kayu untuk memukul Cik Huang di unit Blok 602, Clementi West Street 1, sekitar 11 malam pada 4 Mei.
Huang Bocan, warga Singapura, yang diwakili peguam Josephus Tan dan Cory Wong dari Invictus Law Corporation menghadapi tuduhan di mahkamah pada 6 Mei atas kesalahan sengaja mencederakan adiknya.
Dua rakannya, penduduk tetap Singapura Chee Mei Wan, 41 tahun, dan warga Singapura, Lim Peng Tiong, 62 tahun, setiap seorang turut berdepan dengan tuduhan sama seminggu selepas itu.
Mengikut rekod Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS), Lim adalah salah seorang daripada dua pemilik flat di mana mayat Cik Huang ditemui.
Dokumen mahkamah tidak memberitahu hubungan antara Lim, Chee dan remaja berkenaan.
Dalam satu kenyataan awal, polis berkata mereka diberitahu tentang kes ini sekitar 6.30 pagi pada 5 Mei.
Pegawai polis yang tiba di flat itu mendapati Cik Huang berada dalam keadaan kaku dan disahkan mati di tempat kejadian.
Tiga penyerang yang didakwa kini ditahan di Divisyen Polis Central dengan kes mereka bakal dibicarakan pada 25 Mei.
Kerana kesalahan sengaja mencederakan, seorang pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda atau disebat dengan rotan.
Hanya Chee tidak boleh disebat sebab dia seorang wanita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg