Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes bunuh diri di S’pura turun pada 2023, terendah sejak 2000

Jul 12, 2024 | 3:14 PM
Menurut pakar, sokongan kesihatan mental yang lebih besar dan perhatian terhadap isu itu boleh menjadi faktor penyumbang kepada kurangnya bilangan mereka yang berpotensi membunuh diri.
Menurut pakar, sokongan kesihatan mental yang lebih besar dan perhatian terhadap isu itu boleh menjadi faktor penyumbang kepada kurangnya bilangan mereka yang berpotensi membunuh diri. - Foto ST

Sebanyak 322 kes bunuh diri dilaporkan di Singapura pada 2023 – penurunan 32.4 peratus daripada 2022 dan angka paling rendah sejak 2000.

Ia juga merupakan kali pertama jumlah kes bunuh diri turun dalam setiap kumpulan umur, kata badan amal pencegahan bunuh diri, Samaritans of Singapore (SOS) dalam satu kenyataan pada 12 Julai kepada The Straits Times (ST).

Pemerhati dan pakar berkata sokongan kesihatan mental yang lebih besar dan perhatian terhadap isu itu boleh menjadi faktor penyumbang kepada kurangnya bilangan tersebut.

Ini berlaku selepas rekod tertinggi 2022 iaitu 476 kes, yang tertinggi sejak SOS mula merekodkan data bunuh diri pada 2000.

Daripada kematian akibat bunuh diri pada 2023, hampir 69 peratus, atau 222, daripada kes itu adalah lelaki. Bunuh diri juga punca utama kematian bagi golongan muda berusia antara 10 dengan 29 tahun.

Ketua Eksekutif Institut Kesihatan Mental (IMH), Profesor Adjung Daniel Fung, berkata: “Terdapat usaha gigih daripada agensi merentas sektor, dari hospital ke agensi perkhidmatan sosial, mengenai pencegahan bunuh diri.”

Ini termasuk inisiatif di bawah Kumpulan Kerja Penyelidikan Antara Agensi bagi Bunuh Diri Belia yang telah membantu mengenal pasti individu berisiko awal dan menyediakan sokongan krisis.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan daripada ST, pihak SOS berkata ia tidak boleh menentukan sebab di sebalik kekurangan itu kerana bunuh diri adalah kompleks dan pelbagai rupa.

Selain mempertingkatkan program berasaskan masyarakat, ia berkata terdapat peningkatan kesedaran kesihatan mental melalui kempen dan beberapa inisiatif pemerintah dan masyarakat lain.

Pada September 2023, beberapa individu dan organisasi, yang diketuai oleh kumpulan advokasi SG Mental Health Matters, mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan strategi pencegahan bunuh diri nasional untuk menangani isu yang membimbangkan itu.

Usaha itu dinamakan Projek Hayat, dan diketuai bersama oleh mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Anthea Ong.

Dalam kenyataan berasingan 12 Julai, SG Mental Health Matters berkata projek itu akan memulakan perundingan awam pada 19 Julai untuk membolehkan orang ramai berkongsi kebimbangan mereka tentang, dan pengalaman dengan bunuh diri.

Rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berumur 21 tahun ke atas boleh berkongsi pandangan mereka di laman webnya.

Perundingan awam itu akan dijalankan selama tiga bulan oleh Sekolah Kesihatan Awam NUS Saw Swee Hock, Universiti Nasional Singapura (NUS) dan OPPi, satu platform penglibatan rakyat. Ia berharap mendapat sekurang-kurangnya 2,000 responden.

Cik Ong memberitahu ST, penurunan ketara dalam kes adalah mengejutkan namun memberangsangkan, memandangkan apa yang dilihat dan didengar daripada masyarakat dan karyawan kesihatan mental di lapangan.

Bagi yang memerlukan bantuan, berikut talian yang boleh dihubungi:

– Institut Kesihatan Mental (IMH) Talian Bantuan Mental: 6389-2222 (24 jam)

– Samaritans of Singapore (SOS): 1-767 (24 jam) / 9151-1767 (24 hours Mesej Penjagaan melalui WhatsApp)



Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg