SALAH seorang daripada dua lelaki yang dituduh membunuh Cik Felicia Teo Wei Ling pada 2007 akan terus ditahan sementara kesnya ditunda hingga Julai.

Dalam kemunculan ringkas di mahkamah daerah menerusi pautan video pada Selasa (24 Mei), Ahmad Danial Mohamed Rafa'ee, 36 tahun, hadir seketika sementara peguamnya meminta perbicaraan ditunda.

Mahkamah juga diberitahu, lelaki kedua yang didakwa membunuh, Ragil Putra Setia Sukmarahjana, 32 tahun, belum lagi dapat dikesan.

Tiada lagi keterangan lanjut mengenai hakisan mayat Cik Teo atau perkembangan siasatan tentang Ragil yang dipercayai berada di luar negara didedahkan di mahkamah.

.Kehilangan Cik Teo menjadi buah mulut ramai apabila keluarga dan temannya memohon bantuan dan enggan mempercayai bahawa pelajar 19 tahun itu telah melarikan dirinya.

Mereka kali terakhir melihatnya pada 29 Jun 2007 tatkala beliau keluar dari rumahnya di Bras Basah.

Keratan video televisyen litar tertutup kemudian menunjukkan beliau menaiki lif di blok di Marine Terrace bersama dua lelaki.

Polis sebelum ini menyifatkan kes ini sebagai kes individu hilang pada 2007 kerana mereka tidak menemui fakta yang mengaitkan dua lelaki ini dengan kehilangan Cik Teo.

Kededua lelaki ini menegaskan bahawa Cik Teo meninggalkan flat itu pada dinihari 30 Jun tahun itu, sebagaimana yang dilaporkan akhbar The Straits Times.

Ratusan orang terlibat dalam mencari Cik Teo pada 2007 dengan mengedarkan ribuan risalah dengan wajahnya terpampang.

Selepas bertahun semakan dibuat, kes itu dirujukkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) pada 2020.

CID bagaimanapun menemukan beberapa barangan yang dipercayai milik Cik Teo ketika beliau dilaporkan hilang, jelas polis.

Ahmad dan Ragil yang merupakan orang terakhir dilihat bersama Cik Teo kemudian dituduh membunuhnya di unit tingkat 10, Blok 19 Marine Terrace, jelas dokumen mahkamah.

Ketiga-tiganya dikatakan adalah teman yang sama-sama belajar di Maktab Seni Lasalle.

Mereka yang didapati bersalah kerana membunuh akan menerima hukuman mati..