PARA penyiasat telah melawat longkang besar di taman permainan Greenridge Crescent semalam, sebelum satu lawatan ke tempat kejadian yang dijadualkan bersama bapa kembar berusia 11 tahun yang ditemui mati di situ pada Jumaat lalu.
Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, telah didakwa di mahkamah pada Isnin, atas tuduhan membunuh salah seorang anak kembarnya, Ethan.
Pada kira-kira 2.15 petang semalam, dua pegawai berpakaian biasa tiba di taman permainan itu di Upper Bukit Timah.
Mereka dilihat berjalan di sekitar kawasan tersebut dan dipercayai telah menetapkan tempat masuk ke kawasan itu dan longkang.
Salah seorang lelaki yang sedang mencatat nota, memanjat ke dalam longkang dan kelihatan sedang mengukur jarak dari pagar ke tapak konkrit.
Lelaki itu kemudian berjalan lebih jauh dari kawasan itu, di sepanjang laluan di belakang rumah berhampiran.
Mereka juga menyusuri kawasan dedaunan di sekitar bahagian lain longkang di sekitar taman permainan berkenaan.
Beliau kemudian berlalu pergi selepas kira-kira 10 minit, menurut laporan The Straits Times.
Kembar lelaki itu, yang dikenali sebagai Aston Yap Kai Shern dan Ethan Yap E Chern, telah dibakar di Krematorium Mandai kelmarin.
Mereka dipercayai mempunyai keperluan khas dan bersekolah di sebuah sekolah di kawasan estet Eng Kong.
Bapa mereka telah menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan pada Jumaat dan kemudiannya ditangkap.
Dia dipercayai membunuh anaknya itu di longkang berbumbung di taman permainan Greenridge Crescent pada Jumaat lalu antara 4.23 petang dengan 6.25 petang.
Semasa prosiding mahkamah pada Isnin, pendakwa polis meminta Yap direman selama seminggu dan diberi kebenaran untuk dibawa keluar untuk siasatan, termasuk lawatan ke tempat kejadian.
Ramai yang tampil memberi penghormatan dan ucap takziah dengan kehadiran nota dan bunga yang ditempatkan orang ramai berdekatan dengan longkang itu.
Sementara itu, peguam, Encik Anil Singh Sandhu, yang mewakili bapa mangsa, memberitahu mahkamah bahawa keluarga itu sedang bersedih di atas kehilangan anak kembar mereka itu.
Menurut polis sebelum ini, kededua kanak-kanak lelaki itu ditemui pada petang Jumaat dalam keadaan terbujur di dalam longkang besar.
Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Jika disabitkan kesalahan membunuh, Yap boleh dikenakan hukuman mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg