LEBIH banyak kes mencabul kehormatan telah dilaporkan pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun lalu.
Sekitar dua daripada tiga kes melibatkan pesalah yang dikenali mangsa.
Menurut polis, kes mencabul kehormatan meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 773 dari Januari hingga Jun tahun ini, naik daripada 739 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Kes-kes di mana pesalah-pesalah itu dikenali mangsa menyaksikan kenaikan sebanyak 9.6 peratus kepada 489, meningkat daripada 446 pada separuh pertama tahun lalu.
Sementara itu, kes melibatkan pesalah yang tidak dikenali mangsa merosot sedikit sebanyak 3.1 peratus kepada 284, daripada 293 dalam enam bulan pertama 2021.
"Bilangan kes-kes mencabul kehormatan yang berlaku dalam sistem pengangkutan awam masih menjadi kebimbangan," kata Pasukan Polis Singapura (SPF) mengenai statistik jenayah pertengahan tahun.
Polis menambah bahawa 63.8 peratus insiden mencabul kehormatan yang berlaku di dalam pengangkutan awam dan dilakukan oleh mereka yang tidak dikenali mangsa menyasarkan individu berusia antara 13 dengan 29 tahun.
Menurut statistik jenayah pertengahan tahun yang dikeluarkan Isnin lalu, sebanyak 80 kes mencabul kehormatan berlaku di dalam pengangkutan awam pada separuh pertama tahun ini.
Pihak polis berkata kamera litar tertutup (CCTV), serta maklumat penting yang disediakan oleh mangsa seperti penerangan suspek, pakaian mereka dan ciri-ciri wajah yang tersendiri telah membantu menyelesaikan banyak kes.
Polis juga memberikan contoh kes yang berlaku pada April tahun ini di mana seorang wanita berusia 27 tahun melaporkan beliau telah dicabul oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di Woodlands Avenue 6.
Beliau memberikan butir-butir terperinci mengenai lelaki itu dan polis berjaya mengesan lelaki itu melalui rakaman kamera polis di kawasan itu.
Pesalah berusia 40 tahun itu diberkas oleh pegawai daripada Divisyen Polis Woodlands dalam tempoh tiga hari sejak laporan itu dibuat oleh mangsa.
Pesalah kemudiannya didakwa atas tuduhan mencabul kehormatan dan dihukum penjara empat minggu pada Mei lalu.
Mereka yang didapati bersalah mencabul kehormatan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, dirotan atau menerima gabungan hukuman tersebut.
Jika mangsa berusia di bawah 14 tahun, kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, denda, sebat, atau gabungan hukuman tersebut.
Pihak polis berkata ia akan melancarkan video pendidikan awam tentang mencabul kehormatan di stesen-stesen MRT pada Oktober ini dan akan terus bekerjasama dengan pengendali pengangkutan awam dan rakan-rakan kongsi, termasuk Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC) untuk meningkatkan kesedaran tentang isu ini.
"Kes mencabul kehormatan merupakan keprihatinan utama pihak polis dan kami tidak mempunyai toleransi terhadap pesalah seksual yang mengancam keselamatan peribadi masyarakat.
Pesalah akan ditangani dengan tegas mengikut undang-undang," kata polis.
Polis menggesa mangsa mencabul kehormatan untuk tampil dan melaporkan jenayah itu.
Pihak polis menambah bahawa mereka mengambil pendekatan yang mengutamakan mangsa dalam siasatan jenayah seksual dan mangsa akan ditangani secara sensitif semasa proses siasatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg