SEORANG belia yang membuat rakaman video untuk pencipta kandungan digital semasa perhimpunan tahun baru berhampiran Clarke Quay di tengah-tengah wabak Covid-19 Januari lalu, perlu menjalani probesen selama enam bulan.
Sebagai sebahagian daripada hukuman yang dijatuhkan semalam, Lee Hern Sing, 20 tahun, perlu berada di dalam rumah dari 11 malam hingga 6 pagi setiap hari dan melakukan 40 jam khidmat masyarakat.
Ibu bapanya diikat jamin dengan bayaran $5,000 untuk memastikan kelakuannya yang baik.
Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Daerah Brenda Chua menyatakan bahawa Lee tidak ada rekod kesalahan lalu. Beliau menyatakan bahawa Lee berusia di bawah 21 tahun, dan pesalah muda sepertinya berada dalam kumpulan yang tepat untuk pemulihan.
Lee mengaku bersalah pada Jun lalu atas kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara). Dia telah menghadiri perhimpunan, yang dianggotai lebih daripada lima orang, tanpa alasan yang munasabah - satu kesalahan di bawah Akta.
Semasa prosiding terdahulu, mahkamah mendengar bahawa dia mengendalikan kamera yang merakam telatah pencipta kandungan, Kotra Venkata Sai Rohankrishna, yang memakai kostum Spider-Man.
Seorang lagi pemuda, Glaxy Low Xuan Ming, memakai topeng gusti. Kotra dan Low, yang kedua-duanya berusia 19 tahun, telah dihadapkan di mahkamah lebih awal kerana melanggar peraturan Covid-19.
Pada 31 Mei lalu, Kotra, yang menjadi dalang dalam kes itu, didenda $4,000, manakala Low didenda $2,000 pada 26 April.
Video yang disiarkan dalam talian menunjukkan orang ramai yang gaduh bersorak, menyanyi dan meraikan dalam apa yang pihak berkuasa sebut sebagai melanggar peraturan pengurusan selamat Covid-19 secara terang-terangan dan kemungkinan acara penyebar besar.
Bagi melakukan kesalahan di bawah Akta Covid-19 (Langkah-Langkah Sementara), pesalah kali pertama boleh dipenjara sehingga enam bulan dan denda sehingga $10,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara sehingga setahun dan denda sehingga $20,000.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg