
SEBANYAK 16,870 kes Covid-19 baru dilaporkan di Singapura hari ini (13 Julai), hampir tiga kali lebih banyak berbanding 5,979 kes baru yang dilaporkan semalam.
Menerusi laman webnya, Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kenaikan itu disebabkan kelonjakan jumlah kes yang biasanya dilihat selepas hujung minggu panjang.
"Jumlah purata kes setempat dalam tempoh tujuh hari kekal stabil sepanjang seminggu lalu, sebanyak sekitar 8,400 kes," ujar MOH.
Menurut MOH, 734 pesakit Covid-19 kini dirawat di hospital, dengan 14 daripada mereka dirawat di unit jagaan rapi (ICU) dan 90 pesakit memerlukan bantuan oksigen. Seramai tiga pesakit terkorban.
Daripada kes baru yang dilaporkan hari ini, 906 pesakit dikesan menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR).
Seramai 15,072 pesakit pula dikesan menerusi ujian pantas antigen (ART), yang bermakna mereka tidak mengalami simptom atau sekadar mengalami simptom ringan.
Sementara itu, terdapat 892 kes import baru hari ini, dengan 854 kes dikesan menerusi ART dan baki 38 kes dikesan menerusi ujian PCR.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg