Kes Covid-19 harian S'pura lonjak kepada 16,879
TERDAPAT 16,879 kes Covid-19 dicatat di Singapura kelmarin, hampir tiga kali ganda berbanding 5,979 kes Selasa lalu.
Kali terakhir kes memuncak setinggi ini ialah pada 9 Mac lalu akibat gelombang Omicron.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata kenaikan mendadak kes adalah akibat cuti panjang baru-baru ini.
MOH menambah: "Bilangan purata kes setempat kekal stabil minggu lalu iaitu sekitar 8,400 kes."
Singapura mencatat 9,989 kes pada Rabu minggu lalu.
Nisbah jangkitan mingguan telah meningkat kepada 1.01, berbanding 0.91 Selasa lalu, menurut MOH di lamannya.
Nisbah itu adalah 1.26 pada 6 Julai lalu.
Angka ini merujuk kepada nisbah kes masyarakat pada minggu lalu dan minggu sebelumnya.
Kadar melebihi 1 menunjukkan bahawa kes Covid-19 semakin meningkat.
Sekitar 734 pesakit dirawat di hospital, 14 di bawah unit jagaan rapi dan 90 pesakit memerlukan bantuan oksigen dan tiga kes kematian dilaporkan.
Antara kes baru, 906 kes dikesan menerusi ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) Covid-19.
Lagi 15,072 kes dikesan menerusi ujian pantas antigen (ART).
Ini bermakna mereka tiada simptom atau mempunyai simptom ringan.
Terdapat 892 kes import, 38 dikesan menerusi ujian PCR dan 854 menerusi ART.
Singapura sejauh ini mencatat keseluruhan 1,557,648 kes Covid-19 dan 1,440 kematian.

