SEBANYAK 33 daripada 42 kes baru jangkitan tempatan Covid-19 yang dilaporkan semalam mempunyai kaitan dengan kelompok pusat hiburan KTV yang semakin meluas.

Ini bermakna kini terdapat 87 kes dalam kelompok itu, menjadikannya antara kelompok Covid-19 terbesar di Singapura.

Dengan jumlah kes dalam kelompok itu dijangka terus bertambah, pakar perubatan di sini menggesa warga agar terus berjaga-jaga dan mengikut semua langkah pengurusan selamat.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) semalam, 17 daripada 42 kes jangkitan tempatan mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini dan sedang dikuarantin manakala 20 lagi berhubung kait dan dikesan menerusi pengawasan. Baki lima kes tidak mempunyai kaitan dengan kes sebelum ini.

Sementara itu, terdapat enam kes import yang dilaporkan semalam, dengan empat daripadanya dikesan semasa tiba di Singapura dan baki dua kes didapati dijangkiti koronavirus itu semasa menjalani arahan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau pengasingan, kata MOH.

Sedang jumlah yang berhubung kait dengan kelompok KTV itu terus bertambah, doktor keluarga, Dr Elly Sabrina Ismail, berkata kemunculan kelompok ini menunjukkan bahawa tiada ruang bagi sesiapa pun untuk bersikap leka kerana kelompok baru yang menjejas ramai orang boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Pemerintah sebelum ini berkata tiada perubahan kepada langkah keselamatan buat masa ini antara lain kerana Singapura kini dalam kedudukan lebih berdaya tahan disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi.

Singapura terus mengorak langkah dalam pelan pembukaan semula negara secara bertahap-tahap, dengan orang ramai dibenarkan menjamu selera di kedai makan dalam kumpulan lebih besar hingga lima orang sejak Isnin lalu.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Meskipun langkah keselamatan tidak dirancang diperketat pada waktu ini, Dr Elly berkata orang ramai harus terus bersatu memerangi Covid-19 ini bersama.

"Memang mengecewakan apabila perkara seperti ini berlaku tetapi ini mengingatkan kita untuk lebih berwaspada.

"Setiap orang harus memainkan peranan - mereka yang sakit harus segera berjumpa dengan doktor, mereka yang berada di tempat terjejas atau mempunyai risiko dijangkiti harus tampil menjalani ujian dan mereka yang belum divaksinasi harus cepat-cepat mendapatkan vaksin Covid-19.

"Dan kita tidak boleh bimbang tentang diri sendiri saja tapi lihat di keliling kita, galak mereka yang belum divaksinasi untuk pergi dapatkan vaksin Covid-19 dan laporkan kepada pihak berkuasa jika melihat perbuatan melanggar langkah pengurusan selamat," katanya sambil menambah usaha memerangi Covid-19 tanggungjawab semua orang dan bukan pihak tertentu sahaja.

Semalam, pusat penjaja di Blok 75 Lorong 5 Toa Payoh menjalani pembersihan intensif selepas seorang penolong gerai yang difahamkan berkunjung ke sebuah pusat KTV hujung minggu lalu diuji positif Covid-19. Pusat penjaja itu ditutup buat masa ini.

Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Teo Yik Ying, berkata penjejakan kontak lebih sukar dalam situasi seperti itu kerana pengunjung tidak begitu rela tampil mengaku bahawa mereka telah ke tempat sebegitu, walaupun untuk menjamu selera.

"Pelayan yang didakwa terlibat juga mungkin tidak akan memberi maklumat secara sukarela tentang orang yang mempunyai kontak dengan mereka," ujarnya.

Pakar penyakit berjangkit, Dr Leong Hoe Nam dari Hospital Mount Elizabeth Novena pula berkata kelompok KTV itu juga boleh menjejas usaha Singapura memerangi Covid-19, dengan pelayan dan pengunjung yang cuba mengelak daripada dikesan hingga menjadikannya sukar bagi pihak berkuasa mengasingkan mereka yang dijangkiti.

Sementara itu, MOH berkata 6.5 juta dos vaksin Covid-19 telah diberikan hingga kelmarin.

Sekitar 4 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama, dengan 2.4 juta daripada mereka telah selesai mendapatkan kedua-dua dos yang diperlukan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti