Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes denggi mingguan S'pura dijangka sampai angka kemuncak baru, melepasi 2,000 kes
Kes denggi mingguan S'pura dijangka sampai angka kemuncak baru, melepasi 2,000 kes
Kes denggi mingguan S'pura dijangka sampai angka kemuncak baru, melepasi 2,000 kes
DALAM menangani jumlah kes mingguan denggi yang tinggi, pihak berkuasa telah pun mengeluarkan 59 perintah menghentikan pekerjaan (SWO) kepada tapak binaan yang didapati melakukan kesalahan pembiakan nyamuk berulang tahun ini.
Sembilan kontraktor juga akan didakwa di mahkamah.
Ini sesudah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) menjalankan sekitar 305,000 pemeriksaan serata pulau, termasuk sekitar 2,300 pemeriksaan di tapak binaan, yang menemukan sekitar 9,000 habitat pembiakan nyamuk.
Demikian jelas NEA dalam satu kenyataan pada Jumaat (3 Jun)
Menurut NEA, bilangan kes denggi mingguan di sini dijangka mencecah jumlah kemuncak, melepasi angka mingguan tertinggi iaitu 1,787 kes pada 2020.
Minggu lalu, 985 kes dilaporkan.
Angka mingguan ini juga mungkin melebihi 2,000 kes bulan ini, dengan Jun biasanya merupakan permulaan musim denggi, tambah NEA.
Lebih 12,000 kes denggi pula dilaporkan tahun ini sejauh ini. Ia adalah melebihi 5,258 kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu.
Syarikat yang telah diberikan SWO dibenarkan hanya menjalankan tindakan pembetulan.
Mereka juga harus menyemak keberkesanan program sanitasi dan kawalan vektor dalam lingkungan tapak binaan.
SWO ini hanya akan ditarik balik apabila langkah yang diperlukan sudah dijalankan mengikut kebenaran NEA.
Di laman rasminya, NEA berkata tapak binaan menjadi keprihatinan kerana mereka boleh menjadi pusat jangkitan denggi.
Denggi menjangkiti manusia daripada gigitan nyamuk yang sudah pun berjangkit.
Selain 59 tapak binaan yang diberi SWO, enam kontraktor turut diberi SWO berulang di tapak binaan yang sama kerana gagal menjaga kebersihan tapak binaan mereka.
Antara kes teruk sesebuah premis yang mempunyai berbilang habitat pembiakan nyamuk adalah tapak binaan dalan kelompok denggi di Woodlands Avenue 9.
Sembilan tapak pembiakan nyamuk dengan lebih beberapa ratusan larva nyamuk dikesan di kemudahan seperti mangkuk tandas sewaktu pemeriksaan dibuat sekitar April.
Larva nyamuk turut ditemui di lopak tanah dan sebuah baldi di satu lagi tapak binaan di di Jalan Batai sekitar Upper Thomson Road.
Sehingga Khamis, terdapat lebih 405 kelompok denggi aktif yang dilaporkan, tambahan daripada 196 kelompok denggi sehingga penghujung April.
NEA menggesa orang ramai dan pemilik premis agar mengambil langkah menghentikan penularan penyakit dengan membuang air bertakung dan membersihkan tapak pembiakan.
Orang ramai juga digalakkan memuatturunkan aplikasi myENV yang boleh memberitahu pengguna jika terdapat kelompok denggi berhampiran rumah mereka.
NEA mengendalikan sekitar 631,000 pemeriksaan bagi pembiakan nyamuk tahun lalu.
Sebanyak 43 SWO pula dikeluarkan buat tapak binaan manakala 54 kontraktor didakwa di mahkamah kerana kesalahan berulang.
Pada Jumaat Menteri Negara (Kemampanan) dan Sekitaran, Encik Desmond Tan turut meninjau kelompok di denggi di tapak binaan kawasan perumahan sekitar Clementi untuk melihat bagaimana pekerja mempertingkat langkah keselamatan termasuk menambah kekerapan menjalankan pemeriksaan
