Bilangan kes penderaan pasangan, warga emas dan kanak-kanak di Singapura yang dilaporkan telah meningkat secara keseluruhan pada 2024, disebabkan kesedaran dan kesediaan lebih tinggi mangsa yang terselamat, keluarga mereka dan orang ramai untuk melaporkan keganasan rumah tangga.
Inilah antara dapatan Laporan Trend Keganasan Rumah Tangga yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 10 Disember.
Kes penderaan berisiko rendah hingga sederhana (Tahap 1), di mana jarang berlaku penderaan lisan, yang tidak meningkat kepada keganasan fizikal atau penderaan psikologi teruk, telah meningkat sebanyak 14 peratus kepada 5,787 kes pada 2024, berbanding 5,092 kes 2023.
Sementara itu, kes berisiko tinggi yang memerlukan campur tangan Perkhidmatan Perlindungan (PSV) MSF atau kes Tahap 2, juga meningkat sebanyak 14 peratus kepada 2,373 kes pada 2024, berbanding 2,076 kes yang dilaporkan pada 2023.
Antara lain, kes penderaan Tahap 2 boleh melibatkan kecederaan teruk seperti melecur dan patah tulang, yang berlaku susulan perbuatan ibu bapa ke atas kanak-kanak.
“Usaha kesedaran yang berterusan, perlindungan undang-undang yang lebih kukuh, serta perkhidmatan sokongan yang menyeluruh berkemungkinan menyumbang kepada trend ini.
“Jumlah kes yang dilaporkan dijangka kekal tinggi dalam jangka masa sederhana, selaras dengan penambahbaikan berterusan dalam pengesanan dan pelaporan, sebelum jumlahnya stabil dalam jangka masa panjang,” kata MSF.
Selain itu, kes penderaan pasangan baru dilapor meningkat daripada 2,008 kes pada 2023 kepada 2,136 kes pada 2024, mencerminkan trend dalam jumlah kes antara pasangan yang meningkat sejak beberapa tahun ini.
Terdapat sebanyak 1,632 kes penderaan pasangan baru yang dilaporkan pada 2021, dan sebanyak 1,741 kes pada 2022.
Daripada jumlah kes yang dilaporkan pada 2024, kebanyakannya adalah kes rujukan sendiri, di mana klien telah mendapatkan bantuan atas usaha dan keinginan sendiri.
Pusat Khidmat Keluarga (FSC) dan Pusat Pakar Perlindungan (PSC) turut memerhatikan terdapat peningkatan dalam kes rujukan daripada pihak polis dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Keganasan Rumah Tangga (Dvert), menyusuli pertubuhan Dvert pada April 2023.
Pasukan respons kecemasan 24 jam itu akan hadir apabila berlaku kes keganasan keluarga berisiko tinggi untuk melindungi mangsa, sebagai sebahagian pindaan yang disaran ke atas Piagam Wanita bagi mengukuhkan perlindungan untuk mangsa penderaan.
Menurut MSF, meskipun terdapat klien yang mencari sokongan, terutamanya berkaitan keganasan rumah tangga, ada juga yang pada mulanya mengemukakan isu seperti kesulitan kewangan atau cabaran keibubapaan, namun kebimbangan penderaan timbul selepas penglibatan FSC.
Sementara itu, laporan MSF juga mengetengahkan jumlah kes Tahap 1 penderaan warga emas telah meningkat daripada 297 kes pada 2023 kepada 359 kes pada 2024.
“Peningkatan ini, sebahagiannya, boleh dikaitkan dengan masyarakat yang semakin menua, di samping kesedaran yang lebih tinggi tentang penderaan yang melibatkan warga emas,” dedah MSF.
Penderaan warga emas ditakrifkan sebagai sebarang tindakan atau kegagalan mengambil tindakan, yang membahayakan keselamatan atau kesejahteraan orang tua berusia 65 tahun dan ke atas.
Penderaan sering dilakukan oleh anggota keluarga atau penjaga yang dipercayai mangsa-pemandiri, kata MSF.
Namun begitu, terdapat kemerosotan dalam kes pengabaian diri (self-neglect) Tahap 2 dalam kalangan orang dewasa yang rentan, iaitu daripada 28 kes pada 2023 kepada 14 kes pada 2024.
Kes pengabaian diri yang melibatkan orang dewasa yang rentan boleh menyebabkan mereka hidup dalam keadaan sangat tidak bersih, berbahaya, mengalami kekurangan zat makanan atau penyahidratan, atau mengalami penyakit atau kecederaan fizikal atau mental yang tidak dirawat, jelas MSF.
Golongan ini tidak dapat melaksanakan tugas penting dalam kehidupan seharian atau menjaga diri mereka sendiri, yang memberi kesan kepada keselamatan dan kesejahteraan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg