Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes fitnah: Bloomberg, wartawan diarah bayar kos guaman $290,000 kepada Shanmugam, See Leng
Kes fitnah: Bloomberg, wartawan diarah bayar kos guaman $290,000 kepada Shanmugam, See Leng
Kes fitnah: Bloomberg, wartawan diarah bayar kos guaman $290,000 kepada Shanmugam, See Leng
Syarikat media Bloomberg dan wartawannya diarah membayar kos guaman berjumlah $290,000 kepada Menteri Kanan, Encik K. Shanmugam dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (Tenaga & Perusahaan), Dr Tan See Leng, selepas kalah dalam kes saman fitnah.
Perintah itu dibuat berikutan pendengaran secara tertutup pada 30 Julai.
Pendengaran berkenaan diadakan kira-kira dua minggu selepas Mahkamah Tinggi menganugerahkan ganti rugi sebanyak $230,000 bagi setiap menteri berkenaan.
Sebagai respons kepada pertanyaan The Straits Times (ST), jurucakap badan kehakiman berkata Hakim Audrey Lim merujuk kepada garis panduan kos perbicaraan dan menganugerahkan $145,000 bagi setiap menteri.
Jumlah berkenaan merangkumi kos perbicaraan pada kadar $10,000 sehari bagi tempoh enam setengah hari, yang membawa kepada jumlah $65,000.
Defendan juga diarah membayar $50,000 bagi kos praperbicaraan dan $30,000 bagi kos pascaperbicaraan, iaitu untuk kerja-kerja penyediaan hujah bertulis dan pendengaran separuh hari pada 22 Mei.
Encik Shanmugam – yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara dan Menteri Ehwal Dalam Negeri – dan Dr Tan, sebelum ini memfailkan saman terhadap Bloomberg berhubung sebuah artikel mengenai urus niaga melibatkan banglo kelas atasan (GCB) di Singapura.
Dalam penghakiman bertarikh 14 Julai, Hakim Lim mendapati bahawa wartawan hartanah, Low De Wei, yang menulis artikel tersebut menyedari sebahagian maklumat yang digunakan adalah palsu, atau telah menerbitkannya tanpa mengambil kira sama ada ia benar atau tidak.
Artikel tersebut bertajuk, ‘Singapore mansion deals are increasingly shrouded in secrecy’ (Urus niaga rumah agam Singapura semakin diselubungi kerahsiaan).
Beliau menambah bahawa tindakan Bloomberg membuang sekatan akses berbayar bagi artikel berkenaan turut menunjukkan niat jahat dan dilakukan bagi membolehkan artikel itu diakses lebih ramai pembaca.
Artikel yang diterbitkan pada 12 Disember 2024 itu menyentuh mengenai urus niaga hartanah kedua-dua menteri pada 2023.
Ia merangkumi penjualan bekas kediaman Encik Shanmugam di kawasan Queen Astrid Park kepada UBS Trustees pada harga $88 juta, serta pembelian sebuah banglo oleh Dr Tan di Brizay Park pada harga hampir $27.3 juta, tanpa sebarang kaveat, atau syarat pengecualian didaftarkan.
Artikel tersebut mendakwa bahawa golongan terlampau kaya (ultra-rich) di Singapura semakin menyembunyikan urusan pembelian banglo mewah mereka, seperti menggunakan instrumen amanah (trusts) bagi merahsiakan identiti masing-masing.
Ia juga mendakwa bahawa urus niaga yang dibuat tanpa pemfailan kaveat “sukar dikesan” kerana tidak disenaraikan dalam pangkalan data yang diselenggara oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Kaveat merupakan satu dokumen undang-undang yang boleh difailkan oleh seseorang dengan Penguasa Tanah Singapura (SLA) bagi menghalang pihak lain daripada membeli sesebuah hartanah.
Hakim mendapati artikel itu memberi bayangan kepada pembaca bahawa menteri-menteri tersebut telah mengambil kesempatan daripada ketiadaan sistem semak dan imbang atau keperluan pendedahan untuk menjalankan urus niaga hartanah mereka secara tidak telus.
Artikel itu turut menyampaikan mesej kepada pembaca bahawa terdapat urus niaga GCB yang disembunyikan daripada pengetahuan pemerintah sendiri, dan wujud jurang kawal selia yang boleh dieksploitasi oleh pembeli.
Selain itu, pembaca juga akan memahami bahawa menteri-menteri berkenaan berbuat demikian untuk menyembunyikan urus niaga mereka dan mengelakkan penelitian – tindakan yang boleh membawa kepada kemungkinan pengubahan wang haram, kata Hakim Lim.
Semasa menilai jumlah ganti rugi yang akan dianugerahkan kepada Encik Shanmugam dan Dr Tan, Hakim Lim mempertimbangkan kelakuan defendan.
“Saya mendapati wujud niat jahat pada pihak defendan,” kata beliau, sambil menambah bahawa niat jahat dalam kes fitnah bermaksud “sebarang niat buruk, sifat dengki atau motif salah atau tidak wajar”.
Kedua-dua Encik Shanmugam dan Dr Tan dalam hantaran Facebook berasingan pada 14 Julai memaklumkan bahawa mereka akan mendermakan wang ganti rugi tersebut kepada badan kebajikan.