Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes kelar kucing di Ang Mo Kio: Lelaki didakwa di mahkamah, ditahan di IMH

Jun 9, 2021 | 3:46 PM
Foto FACEBOOK NING WONG
Foto FACEBOOK NING WONG -

SEORANG lelaki yang didakwa menjadi dalang siri kes kelar kucing di Ang Mo Kio telah didakwa di mahkamah.

Leow Wei Liang, 37 tahun, didakwa dengan satu tuduhan kekejaman ke atas haiwan pada Rabu (9 Jun).

Dia dituduh mengelar kucing putih dengan tompok kelabu dengan pisau lipat pada 2 Mei di tangga tempat meletak kereta Blok 352A, Ang Mo Kio Street 32, sekitar 11 pagi.

Sewaktu kes ini dibacakan di mahkamah dan dikendalikan secara jauh, Leow, yang dalam tahanan polis, enggan wajahnya dirakam kamera.

Menerusi penstriman video, dia boleh didengar terpekik-pekik di lantai sedang pegawai polis cuba memintanya berdiri.

Di sebalik segalanya, Hakim Daerah Marvin Bay mengambil kira dia hadir di sesi tersebut.

Leow kedengaran berbual dalam bahasa Mandarin bahawa dia tidak mahu dipenjara dan merayu agar dibebaskan.

Pihak pendakwa berkata Leow dipercayai adalah individu di sebalik siri kes kelar kucing di Ang Mo Kio dan memintanya ditahan di Institut Kesihatan Mental (IMH) buat dua minggu.

Hakim bersetuju dengan menyatakan tindak-tanduk Leow di mahkamah dilihat sebagai sebab membolehkan dia ditahan di IMH.

Leow diberkas pada pagi Selasa oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) di bawah Lembaga Taman Negara (NParks) dengan sokongan polis.

Sejak lewat April, sekurang-kurangnya 10 kucing didapati dalam keadaan cedera dengan kelaran dalam pada badannya.

Serangan itu berlaku di Ang Mo Kio Avenue 8 dan Ang Mo Kio Avenue 1.

Kerana siri kes kelar kucing itu, beberapa kucing kejiranan di kawasan Ang Mo Kio kini ditempatkan di kemudahan penginapan haiwan di Lim Chu Kang dan di The Animal Lodge.

Leow dijangka kembali ke mahkamah pada 23 Jun bagi sebutan lanjutan kes ini.

Jika didapati bersalah bertindak kejam ke atas haiwan, dia boleh dipenjara hingga 18 bulan atau didenda $15,000 atau kedua-duanya sekali.

Pesalah berulang boleh dipenjara hingga tiga tahun atau denda hingga $30,000 atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg