Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes kematian tempat kerja Rifle Range: Alat pemunggah forklift tidak dimasukkan sepenuhnya

Jan 7, 2023 | 5:30 AM
- Foto MAJLIS KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA
- Foto MAJLIS KESELAMATAN DAN KESIHATAN DI TEMPAT KERJA -

KEMATIAN seorang pekerja di Rifle Range Road pada 27 Disember lalu berlaku akibat alat pemunggah pada forklift yang dinaikkan sebelum ianya dimasukkan sepenuhnya di bawah sebuah mesin, menurut satu siasatan awal.

Proses menaikkan alat pemunggah yang tidak dimasukkan sepenuhnya menyebabkan mesin tersebut tergolek ke atas pekerja itu, yang meninggal dunia di hopital akibat kecederaan yang dialami.

Dalam satu peringatan yang dikeluarkan kelmarin, Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) berkata pekerja itu sedang memberi panduan bagi forklift tersebut ditempatkan di bawah mesin itu apabila kemalangan berlaku.

Ia berkata kesemua syarikat yang menggunakan forklift patut dinilai segera akan langkah keselamatan mereka dalam menggunakan kenderaan sedemikian.

Kemalangan pada 27 Disember lalu itu berlaku sekitar 7.50 pagi di 601 Rifle Range Road, sebuah tapak berhampiran Kolam Air Upper Peirce yang digunakan syarikat ST Engineering Advanced Material Engineering, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sebelum ini.

Seorang lelaki berusia 62 tahun diberkas selepas kematian pekerja itu.

Dia disyaki menyebabkan kematian tersebut akibat tindakan cuai.

Pekerja yang meninggal dunia itu, Encik Ely Chow, 31 tahun, bekerja dengan sebuah syarikat pembekal pekerja, RCM Resources.

Peringatan Majlis WSH itu kelmarin menyatakan bahawa terdapat enam kes kematian berkaitan forklift akibat kemalangan di tempat kerja tahun lalu.

Dua kes melibatkan pekerja yang ditimpa di bawah forklift yang tergolek akibat beban yang tidak seimbang, sedang dalam dua kes berasingan, pekerja digilis atau dihempap forklift yang sedang bergerak.

Baki dua insiden, termasuk kes terkini, melibatkan alat pemunggah forklift menggolekkan objek ke atas pekerja.

Majlis WSH berkata syarikat-syarikat patut membenarkan hanya pekerja yang berkebolehan dan layak untuk mengendalikan forklift.

"Pastikan semua pengendali forklift telah selesaikan pensijilan yang perlu seperti Kursus Kendalikan Forklift Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja Singapura.

"Wajibkan pengendali forklift untuk menghadiri latihan ulang kaji sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun," katanya lagi.

Firma-firma patut mempunyai prosedur kerja selamat bagi menggerakkan peralatan berat dan mesin.

Mereka boleh dapatkan nasihat pengilang tentang bagaimana sesetengah barangan tertentu boleh digerakkan dengan selamat.

Pengendali forklift mesti mempunyai pandangan jelas akan operasi mengangkat itu, dan memeriksa jarak alat pemunggah sesuai bagi keluasan beban yang diangkat.

Mereka juga patut masukkan alat pemunggah forklift tersebut di bawah beban yang diangkat seberapa dalam yang mampu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg