BAPA sepasang kembar lelaki berusia 11 tahun yang ditemui mati di longkang besar sekitar Upper Bukit Timah telah mendapatkan khidmat peguam baru untuk mewakilinya.
Xavier Yap Jung Houn, 48 tahun, dituduh membunuh Aston Yap Kai Shern dan Ethan Yap E Chern pada 21 Januari antara 4.23 petang dengan 6.18 petang di terusan berbumbung yang terletak di taman permainan Greenridge Crescent.
Peguam baru tertuduh ialah Encik Patrick Nai, Encik Choo Si Sen dan Cik Choo Yean Lin dari Tan Lee & Partners, dan Encik Muhammad Razeen Sayed Majunoon dari Advance Law.
Yap sebelum ini diwakili oleh Encik Anil Singh Sandhu dari Kertar & Sandhu.
Cik Choo tidak menyatakan mengapa beliau melantik peguam baru.
Polis berkata dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa Yap telah menghubungi mereka untuk mendapatkan bantuan di taman permainan Greenridge Crescent pada 6.25 petang pada 21 Januari.
Aston dan Ethan kemudiannya ditemui terbaring tidak bergerak di terusan berhampiran.
Mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg