Topik diikuti
Pergi ke BHkuKes manipulasi saham $8 bilion: Pasangan didapati bersalah
Kes manipulasi saham $8 bilion: Pasangan didapati bersalah
Kes manipulasi saham $8 bilion: Pasangan didapati bersalah
AHLI perniagaan Malaysia, John Soh Chee Wen, dan teman wanitanya, Quah Su-Ling, telah didapati bersalah sebagai dalang kes manipulasi pasaran saham Singapura paling serius di sini hingga melenyapkan lebih $8 bilion daripada pasaran tersebut pada Oktober 2013.
Demikian keputusan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi petang semalam.
Hakim Hoo Sheau Peng mendapati Soh bersalah di atas 180 tuduhan daripada 188 yang dihadapinya, manakala Quah didapati bersalah bagi 169 daripada 178 tuduhan yang dihadapinya.
Kedua-duanya dibebaskan daripada lapan tuduhan menipu.
Hukuman mereka akan diumumkan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.
Soh, 62 tahun, yang kelihatan lebih kurus, telah ditahan reman sejak November 2016.
Quah, bekas ketua eksekutif Ipco (kini dinamakan semula sebagai Renaissance United), pula dibebaskan dengan ikat jamin $4 juta.
Lebih 40 orang hadir di perbicaraan mahkamah semalam selepas keputusan itu disampaikan, yang dibuat selepas hampir 200 hari perbicaraan dalam tempoh tiga tahun lalu.
Hampir 100 saksi pendakwaan memberi keterangan.
Kedua-dua mereka telah berpakat untuk secara palsu menaikkan harga saham murah Blumont Group, Asiasons Capital dan LionGold Corp - dikenali secara kolektif sebagai BAL - selama lebih setahun melalui rangkaian 189 akaun dagangan yang dipegang bersama 20 institusi kewangan menggunakan nama 60 individu dan syarikat.
Mereka memanipulasi pasaran dan harga saham BAL dengan mengawal, mendapatkan pembiayaan, menjalankan kegiatan perdagangan tidak sah, dan menyelaraskan penggunaan 189 akaun tersebut.
Mereka didakwa menggunakan hubungan peribadi dan profesional mereka untuk mendapatkan kawalan ke atas 164 akaun, dengan baki 25 akaun atas nama Quah atau syarikat dalam kawalannya.
Berdasarkan hubungan ini, pemegang akaun kononnya membenarkan tertuduh menggunakan akaun mereka untuk berdagang saham BAL.
