Seorang ibu, Nouvelle Chua Ruoshi, pada 26 Oktober mengaku bersalah atas tuduhan berkaitan penderaan kanak-kanak kecil Megan Khung yang berusia empat tahun ketika itu.

Dia mengakui peranan yang dimainkannya dalam penderitaan yang dialami kanak-kanak perempuan tersebut. 

Wanita berusia 36 tahun itu merakam video rakannya, Foo Li Ping, ibu Megan, dan teman lelaki Foo, Wong Shi Xiang, mendera kanak-kanak itu.

Pada satu ketika, Chua, yang mempunyai seorang anak perempuan, menyuruh ibu kanak-kanak itu supaya memaksa Megan memakan hingus Foo kerana kanak-kanak itu menangis kelaparan. 

Foo kemudian menghembus hingus ke dalam sapu tangan dan meletakkan sapu tangan yang dilumuri hingus itu ke dalam mulut kanak-kanak itu.

Chua mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan kesemuanya, termasuk satu tuduhan bersekongkol dengan Foo dan Wong untuk mendera Megan dengan memaksanya tidur di balkoni, tidak memberinya pakaian serta gagal mendapatkan bantuan perubatan selepas Megan ditumbuk hingga maut.

Dua tuduhan lagi adalah kerana sengaja menghapuskan mayat Megan dan mengambil methamphetamine.

Tiga lagi tuduhan bersekongkol melakukan penderaan kanak-kanak akan dipertimbangkan apabila Chua dijatuhi hukuman pada 13 November. 

Tuduhan itu berkaitan insiden berasingan, termasuk insiden Foo memaksa Megan memakan hingusnya, dan satu lagi insiden Foo menampar Megan serta memaksanya memakai lampin kotornya di atas kepala.

Insiden ketiga melibatkan Wong dan Chua yang memalukan Megan dengan mengaraknya di khalayak ramai dengan muka yang dicat.

Megan didera dan dimalukan oleh Foo dan Wong selama lebih setahun.

Penderaan fizikal dan emosi itu memuncak dengan kematian Megan selepas Wong menumbuk perutnya pada 21 Februari 2020.

Selepas Megan meninggal dunia, Chua membantu pasangan itu melupuskan mayatnya.

Mayat Megan dibawa ke sebuah bengkel kereta di Taman Perusahaan Paya Ubi (Paya Ubi Industrial Park) dan dibakar dalam tong logam buatan khas pada 8 Mei 2020, selepas pasangan itu mengkaji cara-cara membakar mayat.

Baki jasadnya tidak pernah ditemui.

Foo, 30 tahun, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun sementara Wong, 40 tahun, yang turut menghadapi tuduhan berkaitan dadah, dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 17 sebatan rotan.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti