Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes muflis bakal dikendali entiti privet

Ia melibatkan semua kes muflis, kecuali yang berkepentingan awam
Nov 29, 2022 | 5:30 AM
SALUR SUMBER DENGAN LEBIH BAIK: Semua kes muflis bakal dikendali entiti privet bagi membolehkan sumber-sumber awam digunakan dengan lebih baik. - Foto fail
SALUR SUMBER DENGAN LEBIH BAIK: Semua kes muflis bakal dikendali entiti privet bagi membolehkan sumber-sumber awam digunakan dengan lebih baik. - Foto fail -

SEMUA kes muflis, kecuali yang berkepentingan awam, berkemungkinan akan dikendalikan oleh entiti privet seperti syarikat pemegang amanah dan peguam mulai September tahun hadapan.

Perubahan ini akan membolehkan sumber-sumber awam digunakan dengan lebih baik dan bukannya digunakan untuk membantu pemiutang menguatkuasakan hutang privet mereka atau untuk melindungi penghutang daripada pemiutang mereka, kata Kementerian Undang-undang (MinLaw) dalam satu kenyataan semalam.

Kementerian itu mencadangkan Rang Undang-Undang Insolvensi, Penyusunan semula dan Pembubaran (Pindaan) di Parlimen untuk meningkatkan pentadbiran kebankrapan di samping membenarkan sumber-sumber awam untuk digunakan dengan lebih baik.

Pada masa ini, hanya pemiutang institusi dikehendaki melantik entiti privet bagi mengendalikan permohonan muflis mereka.

Perubahan itu telah diperkenal pada 2016.

Langkah yang dicadangkan semalam akan melanjutkan syarat tersebut kepada semua pemiutang.

Di bawah pindaan yang disarankan, Pemegang Amanah Privet dalam Kemuflisan (PTIB) akan dilantik bagi mengendalikan semua kes muflis, termasuk yang difailkan oleh pemiutang dan penghutang yang bukan di bawah institusi.

PTIB boleh menjadi peguam cara, akauntan awam, atau akauntan bertauliah, dan perlu memegang lesen pengamal insolvensi daripada Pejabat Insolvensi dan Pemegang Amanah Awam MinLaw.

Jika undang-undang itu diluluskan, rejim baru itu dijangka dilaksanakan menjelang September 2023.

Minlaw berkata:

"Ini akan membolehkan sumber awam dalam mentadbir kes muflis digunakan dengan lebih berkesan dan cekap di samping memastikan kes muflis terus dikendalikan secara teratur di Singapura."

Ia menambah bahawa negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Canada telah menerima pakai amalan ini dan mewajibkan PTIB untuk dilantik bagi setiap kes kebankrapan.

Penandatangan rasmi, yang merupakan pegawai-pegawai awam dan pegawai-pegawai mahkamah, boleh mengambil kes-kes kepentingan awam, seperti yang melibatkan penyalahgunaan dana awam atau hutang yang ketara yang terhutang kepada Pemerintah.

Kes-kes seperti ini dianggarkan hanya merangkumi sekitar 1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes setahun.

MinLaw berkata bahawa perubahan yang dicadangkan adalah sebahagian daripada semakan berterusan tentang bagaimana kes muflis ditadbir di Singapura, dengan perubahan telah dilakukan untuk memperbaiki proses tersebut.

Sejak 2017, PTIB mentadbir lebih 50 peratus kes muflis baru secara purata.

Terdapat 3,060 permohonan muflis dibuat dari Januari hingga Oktober tahun ini, dengan 801 perintah dibuat dan 835 discaj muflis bagi tempoh tersebut.

Pada 2021, terdapat 3,160 permohonan untuk muflis, dan pada 2020, 2,833 permohonan.

Berdasarkan maklum balas daripada industri, proses PTIB mentadbir kes muflis yang difailkan pemiutang institusi telah berjalan dengan lancar, kata MinLaw.

Dengan perubahan yang dicadangkan, penerima tugasan rasmi kini akan memainkan peranan untuk mengawal selia dan membantu menyeliakan kecekapan dan pematuhan kepada PTIB apabila mengendalikan kes-kes tersebut.

Penerima tugasan rasmi itu akan terus mengendalikan kes-kes kebankrapan yang tidak dilepaskan yang ditugaskan kepada mereka sebelum pindaan baru itu dikuat kuasakan.

Perubahan lain yang dicadangkan di bawah Rang Undang-Undang baru itu termasuk membolehkan maklumat tentang sejarah pekerjaan dan status yang diberikan oleh mereka yang muflis diakses dengan bayaran.

Satu lagi perubahan yang dicadangkan ialah untuk membuatnya sebagai satu jenayah jika status bankrap yang belum dilepaskan tidak didedahkan apabila orang itu menerima deposit sekurang-kurangnya $10,000 daripada mana-mana pihak, sama ada untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain.

"Di bawah rejim muflis yang ditadbir oleh Pemegang Amanah Privet dalam Kemuflisan (PTIB), sumber awam tidak akan digunakan untuk membantu pemiutang dalam menguatkuasakan hutang privet dan penghutang yang mencari tempat perlindungan yang selamat daripada pemiutang selepas tidak dapat membayar hutang mereka. Ini akan membolehkan sumber awam dalam mentadbir kes muflis digunakan dengan lebih berkesan dan cekap di samping memastikan kes muflis terus dikendalikan secara teratur di Singapura. Ini adalah amalan perundangan negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Canada, di mana undang-undang mewajibkan pelantikan PTIB bagi setiap kes muflis. - Kementerian Undang-undang (MinLaw)

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg