SEORANG lelaki sebelum ini yang diberi julukan "pemandu bas sekolah pedofil" dan menjadikan beberapa gadis muda dan seorang budak lelaki autistik sasaran, telah dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan tujuh bulan pada Rabu.
Pada Disember 2022, Gary Alexander Tan, 68 tahun, mengaku bersalah atas enam tuduhan, termasuk pelbagai tuduhan mencabul.
Sembilan tuduhan lain sedang dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Cik Sharmila Sripathy-Shanaz berkata Tan tidak didiagnosis secara rasmi sebagai pedofilia.
Beliau juga berkata kesalahannya menjijikkan kerana ia melibatkan kanak-kanak yang kurang upaya mempertahankan diri sendiri.
Bapa tiga anak yang sudah dewasa itu mula melakukan jenayah tersebut antara 1993 dengan 1995, apabila dia mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat hingga enam tahun pada masa itu.
Mangsa dalam kes itu memberitahu pihak berkuasa pada 25 Januari 2023, selepas Tan disabit kesalahan. Tan mencabul kehormatan mangsa keduanya semasa bermalam di rumah seorang rakan pada 2006. Sedang wanita itu tidur, dia mencabul kehormatan anak perempuannya, yang ketika itu berusia antara tiga dengan lima tahun.
Tan kemudian bekerja sebagai pemandu bas untuk sebuah tadika mengangkut kanak-kanak berkeperluan khas pada 2009.
Penumpang termasuk seorang budak lelaki autistik, berusia antara empat dengan enam tahun. Tan mendera budak lelaki itu antara 2013 dengan 2014.
Tan juga mengambil gambar seorang lagi gadis muda, yang usianya tidak disebut dalam dokumen mahkamah, dengan memujuk seorang pembantu rumah yang ditugaskan menjaga gadis itu.
Dia juga mendapatkan bantuan seorang lagi pembantu rumah untuk menghantar, antara 5 Mei dengan 1 November, gambar-gambar eksplisit anak perempuan majikannya.
Pembantu rumah itu juga menghantar Tan 51 gambar seorang lagi kanak-kanak perempuan dan tiga gambar kanak-kanak lelaki majikan tanpa pakaian. Usia tiga anak itu tidak didedahkan.
Selepas menjadi pemandu bas sekolah pada 2017, Tan tukar pekerjaan mengangkut kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan.
Salah seorang daripada mereka adalah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Pada 12 Januari, 2017, selepas menghantar kanak-kanak lain, dia mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan itu dan mengambil video dirinya melakukan kesalahan itu.
Dia mengulangi tindakannya sekali lagi pada 16 Januari 2017.
Akhir bulan itu, mangsa telah memberitahu keluarganya dan ibu mangsa menghubungi polis pada 26 Januari 2017 dan Tan ditangkap pada hari yang sama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg