
SEORANG lelaki Australia yang melemparkan botol arak dari tingkat tujuh sebuah kondominium lantas terkena seorang datuk yang kemudiannya meninggal dunia telah dikurangkan hukuman penjaranya atas rayuan yang dibuat.
Andrew Gosling, 50 tahun, telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun enam bulan pada 8 April dalam apa yang disifatkan oleh pendakwa raya sebagai kesalahan yang memberi gambaran permusuhan terhadap orang Islam dan memburukkan agama berkenaan.
Pada Selasa (20 Disember), Hakim Chua Lee Ming berkata, melihat semua fakta dan keadaan kes, hukuman itu tidak boleh melebihi hukuman maksimum bagi perbuatan terburu-buru yang menyebabkan kematian, iaitu lima tahun.
Hakim Chua kemudian mengurangkan hukuman Gosling selama enam bulan.
Gosling pada 18 Ogos 2019, melemparkan botol kaca arak itu dari tingkat tujuh Spottiswoode 18 di Spottiswoode Park Road, ke arah sekumpulan penduduk Melayu/Islam yang mengadakan barbeku.
Botol itu terkena kepala pemandu pengiriman, Encik Nasiari Sunee, 73 tahun, datuk sembilan cucu. Ia kemudian terkena bahu kanan isterinya, Cik Manisah Sitri, 69 tahun, yang lengan kanannya terpaksa berbalut kira-kira dua bulan.
Gosling mengaku bersalah pada Februari lalu atas perbuatan terburu-buru yang membawa kepada kematian Encik Nasiari.
Dia juga mengaku menyebabkan kecederaan teruk kepada Cik Manisah dengan perbuatan terburu-buru itu.
Dia dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana perbuatan terburu-buru yang menyebabkan kematian dan baki hukuman 18 bulan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Hakim Daerah Utama Victor Yeo kemudian memutuskan bahawa hukuman bagi kedua-dua pertuduhan itu hendaklah dilaksanakan berturut-turut, dengan jumlah hukuman penjara lima tahun enam bulan.
Pada Selasa, Gosling hadir menerusi pautan video di Mahkamah Tinggi.
Peguamnya, Peguam Kanan Sreenivasan Narayanan, menegaskan bahawa hukuman Gosling bagi dua pertuduhan yang disabitkan itu harus berjalan serentak dan bukannya berturut-turut, kerana kesalahan itu berlaku akibat satu perbuatan membaling botol itu.
Hakim Chua bertanya kepada peguam bela sama ada wajar jika Gosling dihukum sekali sahaja atas kesalahan itu.
Encik Sreenivasan menjawab bahawa hakim yang menjatuhkan hukuman mesti mencari bukti-bukti kukuh yang menegaskan mengapa kesalahan itu bukan satu transaksi.
Jika ia merupakan perbuatan satu transaksi pun, hakim mesti menjelaskan sebab mengapa beliau mengabaikan peraturan satu transaksi itu.
Hakim Chua menjelaskan beliau tidak boleh menerima perkara itu memandangkan peraturan satu transaksi itu memberi pihak mahkamah keizinan menilai bila masa yang wajar menggunakannya.
Peraturan satu transaksi ini dilaksanakan dalam situasi apabila dua atau lebih kesalahan berkaitan, hukuman yang dijatuhkan harus menjadi sebahagian daripada satu transaksi supaya tertuduh tidak dihukum dua kali kerana kelakuan yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya Ben Mathias Tan turut menekankan bahawa kedua-dua mangsa mewakili kepentingan berasingan yang dilindungi undang-undang.
Beliau berkata: "Apabila kita melihat pencerobohan kepentingan yang berlaku, ia khusus pada mangsa.
"Kemudaratan yang disebabkan oleh kedua-dua kesalahan adalah berbeza, bukan sebahagian daripada penyatuan kesalahan yang sama."
Encik Sreenivasan juga mempersoal hakim daerah kerana tidak mengambil kira fakta bahawa dua pakar telah berkata serangan Gosling terhadap penduduk Melayu/Islam itu adalah akibat pemikiran obsesifnya apabila dia mabuk dan tidak menyampaikan perasaan sebenar.
Beliau berkata: "Setiap pautan rantaian adalah lemah namun kesan kumulatif itu membawa pada hukuman yang melebihi maksimum pertuduhan paling serius."
DPP membantah dengan mengatakan Gosling bertindak selepas dia secara sukarela mengambil jumlah alkohol yang berlebihan, menjadikannya faktor yang memburukkan keadaan.
Encik Sreenivasan juga menekankan tidak wajar bagi hakim daerah untuk menggunakan faktor yang memburukkan permusuhan agama dan keadaan mabuk dua kali bagi setiap kesalahan serta mewajarkan hukuman berjalan berturut-turut.
DPP pula berkata peguambela yang berhujah bahawa seseorang tidak boleh menggunakan faktor yang memburukkan yang sama untuk dua kesalahan bukanlah undang-undang.
Jika ini berlaku, ia akan dilanjutkan kepada orang yang dituduh tidak dibenarkan menggunakan faktor pengurangan yang sama untuk kesalahan berasingan.
Hakim Chua tidak bersetuju dengan pembelaan bahawa peraturan satu transaksi harus digunakan dalam kes ini, tetapi menolak pendapat pihak pendakwa bahawa ia tidak sepatutnya berlaku kerana terdapat dua mangsa.
Bagaimanapun, hakim mendapati bahawa hukuman lebih daripada maksimum bagi pertuduhan yang lebih serius tidak akan memenuhi penghujung keadilan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg