SIASATAN ke atas pasangan yang disyaki terlibat dalam penipuan perniagaan barangan mewah berjumlah $32 juta masih diteruskan.
Kes melibatkan pasangan Pi Jiapeng dan isteri asal Thailand, Pansuk Siriwipa, kedua-duanya berusia 27 tahun, telah ditangguhkan bagi satu persidangan sebelum perbicaraan pada 11 Oktober ini.
Persidangan sebelum perbicaraan berlaku apabila pihak pendakwa raya dan peguam bela tampil bersama untuk membincangkan - secara tertutup - bagaimana kes tersebut patut diuruskan.
Pasangan itu tampil di mahkamah menerusi pautan video dari Divisyen Polis Central semalam.
Mahkamah diberitahu bahawa arahan agar tiada ikat jamin diberikan kepada pasangan yang tampil dengan berbaju merah, masih dikekalkan.
Kali pertama mereka tampil di mahkamah adalah pada 12 Ogos lalu, dengan setiap seorang daripada mereka dikenakan tiga tuduhan - dua bagi menipu dan satu tuduhan meninggalkan Singapura secara haram.
Mereka dituduh bersubahat untuk menipu pelanggan firma Tradenation and Tradeluxury antara Januari dengan Jun lalu.
Jumlah yang dikaitkan dengan kes tersebut tidak didedahkan dalam dokumen mahkamah.
Pasangan itu didakwa menipu mangsa untuk mempercayai bahawa mereka akan dijual jam dan beg tangan mewah, namun tiada hasrat untuk menghantar barangan tersebut.
Dalam perbicaraan awal pada 19 Ogos lalu, mahkamah diberitahu bahawa kes itu rumit melibatkan lebih daripada 180 laporan polis.
Pi yang dilahirkan di wilayah Fujian di China, sebelum ini ditangkap Pasukan Polis Singapura (SPF) pada 27 Jun lalu.
Pasportnya kemudian disita dan dia dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak $15,000 keesokan harinya.
Pansuk sedang membantu polis dengan siasatan dan telah menyerahkan pasportnya kepada pegawai polis pada 30 Jun.
Pasangan itu kemudian tidak dapat dihubungi dan dikatakan meninggalkan Singapura secara haram menerusi jalan darat - merentasi sempadan pada 4 Julai lalu.
Waran tangkapan dan notis merah Interpol kemudian dikeluarkan ke atas mereka.
Polis Diraja Thailand kemudian memberitahu SPF bahawa Pi dan Pansuk mungkin berada di sebuah hotel di Johor Bahru, Malaysia.
SPH kemudian meminta bantuan Polis Diraja Malaysia untuk menjejak pasangan itu.
Pasangan itu ditangkap pada 11 Ogos dan diserahkan kepada SPF pada hari yang sama. - The Straits Times


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg